ASEAN 2025: PM Anwar Catat Sejarah Pengerusikan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China Buat Kali Pertama

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bergambar bersama pemimpin ASEAN, GCC dan China sebelum mempengerusikan Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC)-China di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 27 Mei 2025.
KUALA LUMPUR, 27 Mei – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencipta sejarah apabila mempengerusikan Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC)-China yang berlangsung buat kali pertama hari ini, mencerminkan kejayaan dalam membentuk semula corak kerjasama sejajar dengan realiti dunia multipolar hari ini.
Perdana Menteri mewakili kerajaan dan rakyat Malaysia mengalu-alukan kehadiran para pemimpin dari rantau ASEAN, GCC dan China menyatakan bahawa penganjuran sidang kemuncak kali ini amat bermakna kepada ketiga-tiga blok buat julung kalinya.

Anwar selaku Pengerusi ASEAN 2025 kemudian memimpin sesi bergambar bersama para pemimpin ASEAN, GCC dan China di atas pentas khas sambil bersalaman secara eratan tangan sebelum ke meja persidangan.
Antara pemimpin negara yang hadir ialah Perdana Menteri China, Li Qiang; Presiden Majlis Tertinggi GCC merangkap Putera Mahkota Kuwait, Sheikh Sabah Al-Khalid Al-Sabah; Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra; Presiden Indonesia, Prabowo Subianto; Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr.; Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh dan Perdana Menteri Timor-Leste, Xanana Gusmao.

Terdahulu, Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, sidang trilateral berkenaan melambangkan kekuatan perpaduan blok serantau dan dijangka membawa kesan positif kepada dunia secara keseluruhan.
“Hari ini akan menyaksikan tumpuan utama kepada pengukuhan kerjasama ASEAN bersamarakan strategik, menerusi penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN-GCC Ke-2 dan Sidang Kemuncak trilateral ASEAN-GCC-China buat julung kalinya.
“Kedua-dua sidang ini akan membincangkan langkah konkrit untuk memperluas kerjasama dalam perdagangan, pelaburan dan pembangunan mampan, selaras dengan aspirasi ASEAN untuk memainkan peranan lebih besar dalam landskap geoekonomi Indo-Pasifik,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri (PMO) yang disiarkan menerusi Facebook Anwar Ibrahim dan Facebook PMO Malaysia hari ini.
Untuk rekod, skala ekonomi gabungan ASEAN, GCC dan China kini mencecah hampir US$25 trilion dengan populasi berjumlah lebih dua bilion orang.
ASEAN kini merupakan ekonomi kelima terbesar dunia dengan jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) US$3.8 trilion manakala China kekal sebagai rakan dagang terbesar ASEAN dengan jumlah dagangan dua hala berjumlah US$696.7 bilion.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
