“Bagus. Very Good, Very Good” – Presiden Indonesia Puji Penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46

Presiden Indonesia Prabowo Subianto memuji penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan sidang-sidang berkaitan yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 27 Mei 2025.
KUALA LUMPUR, 27 Mei – Presiden Indonesia Prabowo Subianto menyifatkan penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 dan sidang-sidang kemuncak berkaitan yang berlangsung di ibu negara sebagai amat baik dan berjaya.
“Bagus. Very good, very good,” katanya kepada media selepas menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) Ke-2 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini hari ini.
Prabowo dan delegasinya merupakan antara pemimpin ASEAN terawal hadir bagi menzahirkan komitmen menyertai sidang kemuncak yang dihoskan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi ASEAN 2025.

Ini merupakan penampilan kali pertama Prabowo selaku ketua negara dalam perhimpuan serantau itu sejak memegang jawatan sebagai Presiden Indonesia pada 24 Oktober tahun lalu.
Terdahulu pada ucapan persidangannya, Prabowo berkata beliau menyokong hasrat Timor-Leste untuk menjadi anggota penuh ASEAN dan mengalu-alukan minat Papua New Guinea untuk menyertai blok serantau itu.
ASEAN kini dianggotai 10 negara iaitu Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

Timor-Leste, yang memohon keanggotaan ASEAN pada 2011, diberikan status pemerhati di mesyuarat peringkat tinggi pada 2022 namun masih menjalani proses penilaian untuk penyertaan penuh.
Pada 10 Mac lepas, akhbar tempatan The National melaporkan bahawa Perdana Menteri Papua New Guinea James Marape menyatakan hasrat negaranya untuk menyertai ASEAN bagi meraih manfaat daripada kebangkitan ekonomi Asia Tenggara.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan mesyuarat berkaitan bermula Isnin, menghimpunkan pemimpin Asia Tenggara untuk perbincangan peringkat tinggi yang tertumpu kepada kerjasama serantau, integrasi ekonomi dan kestabilan geopolitik.

Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 turut mengadakan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC ke-2 dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang julung kalinya diadakan, untuk memperkukuh kerjasama antara rantau.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
