Rapatkan Tautan, Fokus Bantu KEADILAN Hadapi Pilihan Raya Negeri Sabah – Mohd Khairol Iwan

Ketua Cabang KEADILAN Bukit Gantang, Mohd Khairol Iwan Mat Khairi (kanan) mengucapkan tahniah kepada Timbalan Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar pada Kongres Nasional KEADILAN 2025 di Persada International Convention Centre, Johor Bahru pada 24 Mei 2025. Foto Facebook Mohd Khairol Iwan bin Mat Khairi
IPOH, 25 Mei – Anggota Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) diseru agar merapatkan kembali tautan yang sedikit ‘bergelora’ setelah Pemilihan KEADILAN 2025 melabuhkan tirainya di Johor Bahru, semalam.
Tanpa merujuk kepada mana-mana kumpulan, Ketua Cabang KEADILAN Bukit Gantang, Mohd Khairol Iwan Bin Mat Khairi menegaskan adalah penting bagi anggota parti kembali fokus kepada pembinaan persefahaman dan memantapkan jentera pilihan raya di semua peringkat bagi berhadapan dengan PRN Sabah dan PRU-16.
“Pemilihan parti telah pun berakhir dan masa untuk semua pihak berganding bahu dengan Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar dan pasukan MPP (Majlis Pimpinan Pusat) sesi 2025-2028 merencana segala buah fikiran bagi memastikan parti terus diberi kepercayaan pada PRU-16.

“Amanat Datuk Seri Presiden agar semua pihak kembali merapatkan saf perjuangan juga memberi isyarat bahawa keputusan pemilihan parti tidak wajar menjadi medan perbalahan yang hanya akan merugikan parti di mata rakyat.
“Justeru, saya menyeru agar setiap pimpinan Jawatankuasa Cabang sedia ada untuk terus fokus memperkasakan kekuatan dan dukungan parti di peringkat akar umbi terutamanya agar KEADILAN menjadi teras dan tunjang kekuatan Kerajaan Perpaduan dalam PRU-16 kelak.
Sambil mengucapkan tahniah kepada Timbalan Presiden KEADILAN baharu, Nurul Izzah Anwar, beliau juga menyokong sebarang bentuk tindakan proaktif yang boleh membina kekuatan parti hingga ke peringkat akar umbi.

Terdahulu, Nurul Izzah ketika ditemui pemberita di Persada Johor pada Sabtu, menekankan keperluan untuk sentiasa bermuhasabah dan mengadakan dialog terbuka di semua peringkat parti.
“Pada saya bukan sahaja hari ini, kita mahu setiap seorang di peringkat pusat, negeri, cabang, kita bertemu, bermuhasabah, menegur satu sama lain.
“Kita tak boleh nafikan sumbangan dan usaha sesiapa. Semua ada cerita mereka, semua ada pengorbanan mereka.
“Jadi dengan semangat itu, saya rasa ini permulaan yang baik,” katanya lagi.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
