Pas Digesa Mohon Maaf Secara Terbuka Kepada Rakyat Thailand, Kemboja

Muhammad Kamil meminta Ahmad Fadhli memohon maaf kepada rakyat Thailand dan Kemboja kerana mengkritik peranan Malaysia, khususnya Perdana Menteri dalam usaha mendamaikan konflik kedua-dua negara.
KUALA LUMPUR, 29 Jul – Pas digesa memohon maaf secara terbuka kepada rakyat Thailand dan Kemboja susulan hantaran Ahli Parlimen Pas, Ahmad Fadhli Shaari di media sosial yang disifatkan sebagai gopoh, tidak beradab dan mencemarkan nama baik negara.
Gesaan itu dibuat Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim, selepas tindakan ahli parlimen Pasir Mas itu mengkritik peranan Malaysia, khususnya Perdana Menteri dalam usaha mendamaikan konflik antara Thailand dan Kemboja yang akhirnya bersetuju menggerakkan gencatan senjata menerusi inisiatif diplomatik Malaysia.
“Malaysia sama sekali tidak akan mempertahankan tindakan gopoh dan bebal yang tidak ada secebis rasa hormat pada negara lain, apatah lagi negara jiran.

“Kenyataan seperti ini tidak wajar dan memalukan negara,” katanya dalam hantaran di laman X rasminya, hari ini.
Terdahulu Ahmad Fadhli yang juga Ketua Penerangan Pas dikecam hebat di media sosial selepas memuat naik hantaran berkenaan dengan penyelesaian konflik negara bergolak Thailand dan Kemboja.
Ahli Parlimen Pasir Mas itu memuat naik gambaran tiga watak binatang iaitu kambing dan biri-biri yang sedang berebut pisang dengan di tengahnya seekor monyet sebagai hakim.
Menurut hantaran dimuat naik di laman sosialnya, Ahmad Fadhli menulis kambing dan biri-biri seeloknya tidak perlu kepada monyet untuk menjadi orang tengah dalam kes perebutan sebiji pisang.

Beliau turut meletakkan artikel berhubung pergolakan Thailand-Kemboja di sebelah gambar berkenaan, bagaimanapun hantaran tersebut telah dipadam ekoran kecaman bertalu-talu diterimanya sejak dimuat naik beberapa hari lalu.
Muhammad Kamil dalam pada itu menegaskan, tindakan Malaysia menjadi perantara antara kedua negara yang sedang bergolak itu bukan bersifatkan parti atau politik individu.
Tegasnya, ia soal peranan Malaysia sebagai pemimpin yang disegani di rantau ini.

“Tatkala dunia mengiktiraf peranan Malaysia khususnya Perdana Menteri sebagai peneraju dan arkitek keamanan serantau apabila dua negara jiran kita, Thailand dan Kemboja, akhirnya bersetuju menggerakkan gencatan senjata. Namun, masih ada segelintir yang memilih untuk memperlekeh dan mempertikai usaha murni ini.
“Ironinya, yang memperlekeh bukan orang luar. Tetapi pembangkang di tanah air sendiri yang nampaknya lebih rela melihat kegagalan daripada mengiktiraf kejayaan yang membanggakan negara.
“Dunia menyambut baik usaha ini dari Presiden Amerika Syarikat (AS), Presiden China, sehinggalah ke seluruh komuniti ASEAN tetapi pembangkang kita pula memilih untuk menjadi sinis dan pesimis.

“Mereka lupa semasa mereka berkuasa, tiada satu pun kejayaan diplomatik seumpama dan sebesar ini berjaya digerakkan untuk dicapai,” katanya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
