BUDI95: KPDN Perak Rekod Lapan Kes Dakwa Beza Isipadu RON95

KPDN Perak sentiasa melakukan pemeriksaan dan pemantauan di stesen minyak bagi memastikan pematuhan BUDI95 termasuk SOP stesen minyak dipatuhi bagi mengelak penipuan. Foto KPDN Perak
IPOH, 17 Okt – Segelintir pengusaha stesen minyak di negeri ini diingatkan agar tidak melakukan penipuan terutama mengusik peralatan pengukuran isipadu bahan api atau berdepan tindakan tegas termasuk dikenakan denda yang tinggi selain lesen perniagaan mereka dibatalkan.
Ini ditambah lagi dengan pendedahan mengejutkan apabila lapan aduan mengenai program subsidi bersasar Budi MADANI RON95 (BUDI95) direkodkan termasuk dakwaan berlaku perbezaan isipadu petrol yang dibeli di pam stesen minyak.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, aduan itu diterima dari 30 September sehingga 16 Oktober lalu.

Jelasnya, kebanyakan aduan adalah berkenaan liter isian petrol yang didakwa tidak sama dengan paparan meter di pam selain isu penggunaan sistem BUDI95.
“Kita telah laksanakan pemeriksaan dan tindakan, termasukah melibatkan sekali syarikat yang diberi amanah untuk menentusahkan isipadu minyak.
“Kita telah pergi bersama buat pemeriksaan dan mendapati keputusan liter itu di bawah seliseh (perbezaan) yang dibenarkan,” katanya kepada pemberita semasa sidang akhbar Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2025 di sini hari ini.
Dilaporkan terdapat dakwaan tular dalam media sosial kononnya isipadu petrol yang dibeli melalui program BUDI95 tidak sama atau kurang berbanding paparan di meter digital pam.
Kamalludin berkata, daripada lapan aduan itu, lima telah selesai, tiga lagi masih dalam siasatan manakala tiada sebarang aduan berkenaan penyalahgunaan kad pengenalan atau MyKad oleh warga asing untuk menikmati RON95 bersubsidi.
Sebarang pertanyaan atau aduan boleh dihantar terus melalui laman sesawang https://e-aduan.kpdn.gov.my untuk tindakan lanjut.
BUDI95 dilaksanakan secara menyeluruh di seluruh negara melibatkan kira-kira 16.4 juta rakyat yang memiliki MyKad dan lesen memandu aktif dan boleh dibaharui bagi melayakkan mereka menikmati subsidi yang dikhaskan kepada warganegara sahaja.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

