Apa Yang Berlaku Ketika Inkues Dijalankan?

Ahli keluarga disarankan untuk mendapatkan wakil peguam supaya soalan penting tetap diajukan walaupun ahli keluarga tidak mampu melakukannya sendiri akibat emosi.

KUALA LUMPUR, 13 Ogos – Prosiding inkues diadakan apabila seseorang meninggal dunia dalam keadaan tertentu yang spesifik.

Inkues hanya dijalankan apabila siasatan diperlukan untuk menentukan fakta berhubung punca kematian, biasanya apabila seseorang meninggal dunia secara mengejut atau dalam keadaan yang masih tidak dapat dijelaskan.

Sebagai contoh, kematian yang berlaku akibat keganasan, disebabkan oleh sebab yang tidak semula jadi, atau akibat punca yang tiba-tiba dan tidak diketahui, semuanya memerlukan inkues dijalankan.

Berikut adalah soalan lazim mengenai inkues:

1. Apakah keadaan kematian yang memerlukan inkues.

Keadaan kematian yang memerlukan prosiding inkues diadakan termasuk:

  • Punca kematian tidak diketahui
  • Kematian yang tidak semula jadi atau akibat keganasan

  • Identiti si mati tidak dapat dikenal pasti
  • Kematian dalam tahanan (contohnya banduan yang sedang dipenjara)
  • Tiada sijil kematian perubatan dikeluarkan

Inkues adalah sejenis siasatan kehakiman, iaitu seorang hakim, dalam kes ini dipanggil koroner, akan mengetuai siasatan tersebut.

2. Apa tujuan inkues diadakan?

Tujuan inkues adalah untuk mendapatkan jawapan kepada soalan-soalan seperti siapakah si mati; bila dia meninggal dunia; di mana dia meninggal dunia dan bagaimana kematiannya berlaku?

3. Adakah terdapat juri semasa inkues?

Dalam kebanyakan kes, tiada juri. Koroner akan mendengar semua keterangan dan membuat keputusan berdasarkan kesimpulan yang dicapai. Namun, ada keadaan tertentu yang wajib dijalankan di hadapan juri.

Ia berlaku apabila:

  • Si mati meninggal dunia dalam tahanan dan kematiannya adalah akibat keganasan, tidak semula jadi, atau puncanya tidak diketahui
  • Kematian berpunca daripada tindakan atau kelalaian pegawai polis atau anggota pasukan polis tentera
  • Kematian disebabkan oleh kemalangan, keracunan atau penyakit yang wajib dilaporkan kepada pihak berkuasa

4. Siapa boleh menghadiri inkues?

Mana-mana orang awam boleh menghadiri inkues yang diadakan di mahkamah terbuka. Selain orang awam, pihak media juga boleh hadir.

5. Adakah orang tertentu diwajibkan hadir?

Koroner akan menentukan saksi mana yang perlu hadir dan boleh mengarahkan mereka hadir sekiranya perlu. Ini termasuk sksi mata, doktor, pegawai polis serta mana-mana individu yang difikirkan mempunyai maklumat atau bukti berhubung kematian berkenaan.

6. Apakah yang dimaksudkan PIP atau ‘properly interested person’?

Merujuk Seksyen 47(2) Coroners and Justice Act (CJA) 2009 (United Kingdom), PIP adalah orang yang mempunyai kepentingan khusus dalam inkues.

Antaranya:

  • Waris atau pasangan si mati
  • Anak-anak si mati
  • Adik-beradik, datuk nenek atau adik-beradik tiri si mati
  • Profesional yang mempunyai kaitan dengan si mati
  • Mana-mana individu lain yang dirasakan oleh koroner mempunyai kepentingan

Kebiasaannya, pihak keluarga diminta melantik seorang wakil sebagai ‘point of contact’ (orang hubungan) untuk:

  • Diberitahu bila jenazah boleh dilepaskan selepas bedah siasat
  • Mendapatkan keputusan utama bedah siasat
  • Diberitahu tarikh, masa dan tempat inkues
  • Melihat bukti bertulis yang akan dikemukakan
  • Membuat bantahan terhadap mana-mana bukti
  • Berpeluang menyoal saksi semasa perbicaraan

8. Apa akan berlaku sekiranya terlalu sedih untuk menyoal saksi?

Menghadiri inkues bagi kematian orang tersayang adalah pengalaman menyedihkan. Oleh itu, disarankan untuk mendapatkan wakil peguam supaya soalan penting tetap diajukan walaupun ahli keluarga tidak mampu melakukannya sendiri akibat emosi.

9. Apa pula peranan koroner dalam inkues?

Koroner bertanggungjawab menyiasat punca kematian. Mereka mestilah peguam berpengalaman (peguam cara) dengan sekurang-kurangnya lima tahun pengalaman, dan ada juga yang mempunyai kelayakan perubatan.

Apabila dimaklumkan ada mayat di bawah bidang kuasanya, koroner akan membuat siasatan punca kematian, sama ada melalui doktor yang merawat si mati atau melalui bedah siasat. Jika bedah siasat tidak menjelaskan punca kematian atau ia disebabkan oleh sebab luar biasa, koroner mesti membuka inkues.

10. Bilakah inkues diadakan?

Seboleh-bolehnya segera, biasanya dalam tempoh enam bulan. Jika lebih masa diperlukan, koroner akan memaklumkan PIP.

11. Apakah proses yang berlaku di mahkamah?

Inkues adalah proses mencari fakta, bukan perbicaraan yang bersifat pertikaian. Koroner akan mengetuai siasatan, menyoal saksi terlebih dahulu dan kemudian membenarkan PIP atau peguam mereka bertanya soalan.

Jika ada juri, koroner akan menyampaikan rumusan bukti dan arahan undang-undang sebelum juri membuat kesimpulan. Jika tiada juri, koroner sendiri akan membuat kesimpulan.

  1. Apakah antara jenis kesimpulan inkues?
  • Kematian semula jadi
  • Kemalangan atau kejadian tidak sengaja.
  • Pembunuhan tidak sah.
  • Bunuh diri
  • Pembunuhan sah (contohnya mempertahankan diri atau tindakan tentera ketika perang)
  • Keputusan terbuka (‘open verdict’) jika bukti tidak mencukupi

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *