Belanjawan 2026: Pengiktirafan Tertinggi PM Anwar Kepada Pengusaha Kraf, Pemain Industri Pelancongan

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur pada 10 Oktober 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR, 10 Okt – Belanjawan 2026 menyaksikan Perdana Menteri mengumumkan peruntukan RM50 juta untuk menyokong pengusaha seni dan warisan menjana pendapatan seperti penggiat karya kraf, batik dan tenunan.
Ini merupakan peruntukan khusus disalurkan kepada penggiat industri kraf tradisional sekali gus memartabatkan serta mengiktiraf usaha dan peranan mereka mempertahankan warisan budaya yang tidak ternilai harganya.
Tambahan pula, kenyataan Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) yang menyambut baik peruntukan RM700 juta dalam Belanjawan 2026 bagi memperkukuh sektor pelancongan negara jelas memberi suntikan semangat menggalakkan lebih ramai rakyat menceburi bidang itu.
Menurut Presiden MATTA, Nigel Wong, inisiatif kerajaan menambah peruntukan untuk membaik pulih bangunan warisan termasuk sejumlah RM500 juta bagi kempen Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026 juga bakal memberi impak positif.
“Setakat ini, apa yang sudah dibentang Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sangat baik kerana sudah tambah promosi pelancongan untuk tahun hadapan sehingga RM700 juta… Itu sangat bagus.
“Perdana Menteri juga menambah peruntukan untuk pembaikan bangunan warisan termasuk tapak Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO)… Ini sangat baik,” katanya.
Nigel turut memuji usaha kerajaan membantu agensi pelancongan tempatan sebagai langkah menambah daya tarikan kepada pelancong asing.
“Perdana Menteri juga mengumumkan insentif untuk agensi pelancongan atau pemegang taruh yang membawa masuk pelancong dari luar negara.
“Insentif ini akan menggalakkan agensi pelancongan untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi yang mesti dilawati,” katanya.
Mengenai pelepasan khas cukai pendapatan individu sehingga RM1,000 yang turut diumumkan, Nigel mengakui langkah itu bakal meningkatkan kadar pelancongan domestik.
“Saya fikir pelepasan cukai sehingga RM1,000 untuk setiap indivivdu itu adalah inisiatif yang sangat baik. Saya fikir, walaupun untuk sektor pelancongan domestik, ia sangat bagus.
“Langkah ini selari dengan TMM 2026. Saya fikir pelepasan cukai ini mampu meningkatkan tahap pelancongan domestik dalam kalangan rakyat Malaysia,” katanya.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web





