Aktif Edar Dadah Di Ladang, Wanita Warga Asing Berjaya Diberkas

Wanita disyaki pengedar dadah di Kalabakan berjaya diberkas bersama dadah jenis syabu dianggarkan seberat 2.13 gram.

TAWAU, 8 Ogos – Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga.

Seorang wanita warga asing diberkas polis selepas didapati mengedar dadah di kawasan perumahan pekerja sebuah ladang di Kalabakan, di sini, Selasa lalu.

Suspek berusia lingkungan 40-an itu ditahan oleh sepasukan polis dari Balai Polis Kalabakan dengan dibantu bahagian penguatkuasaan ladang berkenaan kira-kira jam 7.40 malam.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima maklumat risikan mengenai kegiatan suspek di kawasan berkenaan.

Katanya, pasukan serbuan terus menjalankan pemeriksaan di sebuah rumah pekerja ladang berkenaan dan menahan seorang wanita dalam keadaan mencurigakan.

“Ketika serbuan, wanita itu berada di ruang tamu rumah dan hasil pemeriksaan suspek menyerahkan satu tin kepada pasukan serbuan.

“Pemeriksaan lanjut di dalam bekas tin itu menemukan 15 paket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu dianggarkan 2.13 gram,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut terhadap dua beg tangan milik suspek mendapati beberapa jumlah wang tunai yang dipercayai hasil kegiatan menjual dadah syabu.

“Suspek kemudian dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Jasmin berkata, Polis Tawau sedang mempergiatkan usaha dalam membanteras kegiatan jenayah dan dadah dari semasa ke semasa dengan operasi yang lebih agresif di kawasan berkenaan.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *