Aidiladha Medan Menghayati Erti Pengorbanan Kepada Ilahi

Ibadah wukuf yang merupakan kemuncak sambutan Hari Raya Aidiladha wajar direnung umat Islam agar sentiasa bertakwa kepada Allah SWT dalam segala aspek kehidupan di dunia ini. Foto Harapan Madani.
PENDAPAT, 28 Jun – Seramai 31,600 jemaah haji dari Malaysia didaftarkan dalam kuota rasmi negara menjadi duyufurrahman di Tanah Suci Mekah pada tahun ini. Setiap individu terpilih pasti mempunyai pelbagai kisah suka duka dalam mempersiapkan diri untuk melaksanakan ibadah haji yang merupakan kemuncak Rukun Islam.
Sebagai seorang muslim, menyempurnakan Rukun Islam adalah lambang kepatuhan dan ketaatan kepada Allah SWT. Namun demikian tidak semua umat Islam mampu mengerjakan Rukun Islam yang kelima ini kerana ia memerlukan kekuatan dari segi kewangan dan juga ketahanan fizikal sepanjang keberadaan di Tanah Haram.

Lantas untuk membina kekuatan dan ketahanan tersebut, umat Islam mesti mempunyai kecekalan yang jitu serta bersedia melakukan pengorbanan jiwa dan raga demi agama.
Banyak episod pengorbanan berlaku mutakhir ini yang boleh diambil ibrah; dari pengorbanan dalam pembentukan sebuah kerajaan perpaduan di kalangan komponen parti berbilang ideologi sehinggalah pengorbanan rakyat untuk turut sama merasai tekanan ekonomi yang masih lemah dan kenaikan harga barang asas menjelang musim perayaan.
Namun begitu tiada episod pengorbanan yang mampu mengatasi satu peristiwa pengorbanan agung kepada kehidupan keluarga Nabi Ibrahim A.S. ketika melaksanakan kepatuhan dan ketaatan kepada Allah SWT.
Allah SWT telah menyampai perintah wahyu kepada Nabi Ibrahim A.S. untuk meninggalkan isteri Baginda, Siti Hajar A.S. bersama bayi yang masih kecil di suatu lembah yang kering kontang. Kedua-dua insan agung tersebut berserah dan meletakkan kebergantungan hidup semata-mata kepada Allah SWT.

Ini jelas diungkapkan dalam doa Nabi Ibrahim A.S. dalam Al Quran yang bermaksud “Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian dari zuriat keturunanku di sebuah lembah (Tanah Suci Makkah) yang tidak tanaman padanya, di sisi rumahMu yang diharamkan mencerobohinya. Wahai Tuhan kami, (mereka ditempatkan di situ) supaya mereka mendirikan sembahyang (dan memakmurkannya dengan ibadat). Oleh itu, jadikanlah hati sebahagian dari manusia tertarik gemar kepada mereka, (supaya datang beramai-ramai ke situ), dan kurniakanlah rezeki kepada mereka dari berbagai jenis buah-buahan dan hasil tanaman, semoga mereka bersyukur.” (Ibrahim :37)
Doa tersebut telah menjadi sumber kecekalan Siti Hajar A.S. yang ditinggalkan bersama Nabi Ismail A.S. yang masih bayi. Dan ketika hanya mereka berdua ditinggalkan, Allah SWT memelihara keduanya dengan mengeluarkan air tanah dari hentakan kaki Ismail A.S. yang menjadi sumber air telaga Zam Zam kepada masyarakat Arab sehingga kini.
Pengorbanan Siti Hajar A.S yang redha ditinggalkan di bumi gersang Mekah dan peristiwa larian Siti Hajar A.S. berulang-alik dari Safa ke Marwah sebanyak 7 kali juga menjadi sebahagian rukun penting dalam pensyariatan ibadah haji kepada seluruh umat Islam.

Mengambil ibrah dari peristiwa pengorbanan agung tersebut dapat disimpulkan bahawa setiap perintah dan larangan Allah SWT adalah sebahagian ujian yang nyata dalam kehidupan.
Sekiranya kita hanya melihat dari sudut pandang logik akal dan hak kemanusiaan semata-mata nyata tiada seorang manusia pun yang sanggup berkorban untuk melaksanakannya. Akan tetapi apabila setiap ujian kehidupan dilalui dengan ketabahan dan kesabaran demi mencari redha ilahi, pengorbanan tersebut amat bernilai di sisi Allah SWT.
Di Bulan Zulhijjah ini mari kita turut menghayati makna sebuah pengorbanan menjadi pemimpin negara. Mereka yang diangkat martabat di sisi Allah SWT sebagai pemimpin negara bukan memiliki segala-galanya, sebaliknya mereka hendaklah menjadi pemimpin negara yang menginsafi bahawa tanggungjawab sebagai khalifah adalah berbakti; serta berkorban diri untuk memberi manfaat kepada seluruh rakyat yang dipimpinnya.
Selamat Menyambut Aidil Adha 1444H
Abdul Mohsein Bin Mohd Shariff
Sumber Rujukan:
i. Nur Saadah Khair, Dr. (2019) Isteri, ibu perlu contohi pengorbanan Hajar. Kuala Lumpur: Berita Harian
