ADUN Kota Lama Komited Utamakan Minda Sihat, Pendidikan Untuk Rakyat

ADUN Kota Lama Dr. Hafidzah Mustakim menyerahkan sumbangan kepada para pelajar sekitar DUN Kota Lama sempena Program Bicara Minda Sihat dan Jom Ke Sekolah di Dewan Perniagaan Cina Kelantan baru-baru ini. Foto Facebook Dr. Hafidzah Mustakim

KOTA BHARU, 3 Jun – Pusat Khidmat DUN Kota Lama dengan kerjasama Yayasan Taqwa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Kelab Keluarga Islah telah menganjurkan program “Bicara Minda Sihat dan Jom ke Sekolah” bertempat di Dewan Perniagaan Cina Kelantan, di sini baru-baru ini.

Ia membuktikan komitmen ADUN Kota Lama Dr Hafidzah Mustakim yang cakna kepada dua elemen berkenaan seraya menjelaskan, program ini bertujuan memberikan penerangan dan pendidikan mengenai kesihatan mental malah minda yang sihat adalah asas kepada kehidupan yang sejahtera dan produktif.

Ilmu dan kemahiran berkaitan penyakit mental ini juga penting bagi ibu bapa dan anggota masyarakat memainkan peranan memberi sokongan yang diperlukan bagi mengelakkan kejadian yang lebih parah seperti bunuh diri terjun jambatan baru baru ini.

ADUN Kota Lama Dr. Hafidzah Mustakim (duduk, tengah) bergambar bersama wakil-wakil agensi kerajaan yang menjayakan dua program serentak di Dewan Perniagaan Cina Kelantan baru-baru ini. Foto Facebook Dr. Hafidzah Mustakim

Program dimulakan dengan Senaman Aerobik Badan Cergas, Minda Cerdas dikendalikan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Kelantan bersama para peserta.

Manakala pasukan Kaunselor LPPKN juga menyediakan khidmat saringan Minda Sihat kepada penduduk sekitar yang berminat untuk mendalami serta memahami pentingnya menjaga kesihatan mental masing-masing.

ADUN Kota Lama Dr. Hafidzah Mustakim menyerahkan sumbangan kepada para pelajar sekitar DUN Kota Lama sempena Program Bicara Minda Sihat dan Jom Ke Sekolah di Dewan Perniagaan Cina Kelantan baru-baru ini. Foto Facebook Dr. Hafidzah Mustakim

“Bagi menjayakan matlamat untuk memberikan penerangan dan pendidikan Ilmu sekaligus kemahiran mengenai kesihatan mental ini, dua ceramah penting telah diadakan iaitu ‘Ceramah Saringan Minda Sihat’ oleh Haslinda Hassan, Ketua Unit Kaunseling Keluarga LPPKN Kelantan.

“Sementara ceramah kedua ialah ‘Ceramah Minda Sihat Emosi Terjaga Hidup Sejahtera: Let’s Talk Minda Sihat’ oleh Siti Fatimah Abu Bakar, Pegawai Psikologi Kaunseling Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kota Bharu dan juga pengisian oleh Dr Syakinah Pakar Perubatan Keluarga PKD Kota Bharu,” ujarnya di Facebook.

Majlis dimulakan dengan ucapan oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Taqwa MAIWP, Abdul Aziz Abd Jalal seterusnya dirasmikan Dr. Hafidzah.

Tetamu kehormat melawat pameran penjagaan kesihatan dan saringan kesihatan yang dianjurkan Pusat Khidmat DUN Kota Lama di Dewan Perniagaan Cina Kelantan baru-baru ini. Foto Facebook Dr. Hafidzah Mustakim

Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Taqwa, Zabidi Nasan dan Pengerusi Kelab Keluarga Islah, Muhammad Firdaus Che Rahimi.

Seramai 600 murid dan ibu bapa dari enam sekolah rendah terpilih sekitar DUN Kota Lama menerima bantuan ‘Jom Ke Sekolah’ dengan kehadiran ibu bapa mengiringi anak-anak mereka memenuhi ruangan dewan pada majlis berkenaan.

Dalam ucapan perasmian, Dr Hafidzah berharap semua pihak agar bersama-sama menjaga kesihatan mental dan memberi sokongan kepada generasi muda.

”Terima kasih atas sokongan semua pihak. Semoga kita terus memperkasa kesihatan mental dan mencipta masyarakat yang lebih baik,” katanya.

Dalam masa yang sama juga Dr Hafidzah mengucapkan jutaan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sentiasa turun padang melihat sendiri isu-isu rakyat serta menyalurkan peruntukan besar bagi kesejahteraan rakyat Kelantan.

Misi menoktahkan kemiskinan tegar termasuk di negeri ini sudah pastinya menjadi agenda utama Kerajaan MADANI dalam mensejahterakan kehidupan rakyat di seluruh negara.

Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Kelantan turun padang menyertai program anjuran Pusat Khidmat DUN Kota Lama bagi memberi penerangan dan maklumat tentang isu berkaitan kekeluargaan kepada rakyat. Foto Facebook LPPN Kelantan

Sementara penerima bantuan ‘Jom Ke Sekolah’ pula mengucapkan terima kasih yang tak terhingga kepada Dr. Hafidzah dan pasukan pusat khidmatnya kerana menerima bantuan ini tanpa mengira fahaman politik mereka.

– Oleh Wan Hasikin


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *