Gangguan Bekalan Air: Warga Lembah Klang Mula ‘Simpan Stok’

Penduduk Lembah Klang dijangka mula menyimpan air hari ini susulan gangguan bekalan air yang bermula jam 9 pagi esok. Foto Arkib
KUALA LUMPUR, 4 Jun – Penduduk di sekitar Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor dan Kuala Selangor diingatkan sekali lagi agar menyimpan bekalan air secukupnya serta menggunakan air secara berhemah susulan gangguan bekalan bermula pukul 9.00 pagi esok.
Pengguna dijangka menerima bekalan secara berperingkat bermula pada pukul 3.00 pagi pada 6 Jun (Khamis) selepas sistem agihan utama bekalan distabilkan.
Terdahulu, Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam kenyataan pada 13 Mei lepas memaklumkan pihaknya akan melaksanakan kerja penambahbaikan aset Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 pada Rabu (esok) bermula pukul 9.00 pagi.
Proses penyenggaraan dan penggantian aset itu dijangka siap pada pukul 7.00 malam hari sama menyebabkan gangguan bekalan air berjadual di wilayah berkenaan.

Lori tangki jakan digerakkan air ke kawasan-kawasan yang terlibat dengan keutamaan kepada premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian.
“Bagi pelanggan komersial, bekalan air terawat boleh dibeli di mana-mana kaunter khidmat pelanggan Air Selangor di wilayah yang terjejas.
“Pelanggan komersial boleh menggunakan lori tangki air masing-masing di empat stesen pengisian air yang akan dibuka di Breamer Estet (Hulu Langat), Taman Gemilang Dengkil dan Pekan Salak (Sepang), serta Taman Banting Baru (Kuala Langat),” menurut kenyataan itu.
Pengguna boleh mendapatkan maklumat lanjut melalui aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan X atau hubungi Air Selangor melalui talian 15300 atau layari https://www.airselangor.com/.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
