65 Penerbangan Di Tawau Batal Susulan Letusan Gunung Ruang

Para penumpang yang terkandas di Lapangan Terbang Tawau ekoran pembatalan penerbangan di lapangan terbang itu hari ini.
TAWAU, 18 Apr – Lebih kurang 65 penerbangan dibatalkan dan dijadualkan semula di Lapangan Terbang Tawau hari ini sebagai langkah berjaga-jaga selepas Gunung Ruang meletus di Wilayah Sulawesi Utara Indonesia, semalam.
Pihak Malaysia Airport Holding Berhad (MAHB) Tawau ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut namun enggan memberikan maklum balas lanjut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin ketika dihubungi mengesahkan perkara berkenaan dan pihak mereka mengambil maklum perkembangan ini.
“Polis sentiasa memantau perkara ni dan kami akan tingkatkan anggota di lapangan terbang bagi memantau serta bersedia untuk sebarang kemungkinan,” katanya.

Memetik laporan AFP, pihak berkuasa udara Indonesia melaporkan abu daripada gunung berkenaan akan naik ke udara dan membahayakan pengguna ruang udara termasuk penerbangan komersial.
Semalam seramai 800 penduduk di Wilayah Sulawesi Utara dipindahkan susulan Gunung Ruang meletus.
Gunung berapi yang terletak di pulau Ruang, kira-kira 100 kilometer dari ibu kota wilayah Manado, meletus lebih tiga kali sejak semalam.

Letusan Gunung Ruang dicetuskan gempa bumi baru-baru ini di pulau itu dan gunung berkenaan dalam keadaan berbahaya kerana mengeluarkan asap panas setinggi 1.8 kilometer.
Ketinggian gunung 725 meter itu boleh membahayakan pesawat komersial yang terdedah kepada debu dan partikel bahaya yang diterbangkan angin.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
