1MDB: Sekutu, Kakak Jho Low Diperintah Bayar AS$2.8 Bilion

Hakim membenarkan 1MDB dan empat entitinya memasukkan penghakiman ingkar terhadap Tan Kim Loong dan Low May Lin dalam saman bagi menuntut semula wang diterima mereka yang diselewengkan daripada syarikat itu.
KUALA LUMPUR, 25 Nov – Sekutu dan kakak kepada ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low hari ini diperintahkan Mahkamah Tinggi untuk membayar ganti rugi berjumlah keseluruhan AS$2.8 bilion (RM11.56 bilion) kepada syarikat pelaburan strategik, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Hakim Mahkamah Tinggi, Mahazan Mat Taib memerintahkan sedemikian selepas membenarkan 1MDB dan empat entitinya memasukkan penghakiman ingkar terhadap Tan Kim Loong dan Low May Lin dalam saman bagi menuntut semula wang diterima mereka yang diselewengkan daripada syarikat itu.
Dalam tuntutan saman berkenaan, 1MDB mendakwa kedua-dua defendan telah menyembunyikan penipuan mereka dengan menyeleweng dana terbabit dan menyebabkan mereka memperoleh kekayaan secara tidak wajar.
Mahazan membuat penghakiman itu selepas Kim Loong dan May Lin gagal memasukkan kehadiran bagi menjawab tuntutan saman berkenaan, setelah melalui prosiding perbicaraan penuh yang tidak disangkal oleh kedua-defendan.
Penghakiman ingkar dibenarkan kerana Kim Loong dan May Lin telah diserahkan dokumen mahkamah bagi tuntutan saman itu, namun kedua-duanya gagal memasukkan kehadiran, memfailkan sebarang pliding atau menghadiri perbicaraan.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web


