Banjir: KSN Maklum PM Anwar Perkembangan Terkini Sebaik Tiba Dari Kenya

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar memberi taklimat terkini perkembangan banjir kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sejurus tiba dari Nairobi, Kenya pada 25 November 2025. Foto Shamsul Azri Abu Bakar

SEPANG, 25 Nov – Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah dimaklumkan mengenai perkembangan terkini situasi banjir monsun timur laut (MTL) yang menjejaskan beberapa negeri sejurus tiba di tanah air selepas lapan hari mengadakan lawatan rasmi ke Ethiopia, Afrika Selatan dan Kenya.

Shamsul Azri memberitahu, beliau sempat memaklumkan perkara itu kepada Perdana Menteri selain hal-hal berkaitan perkhidmatan awam sejurus Anwar tiba dari Nairobi, Kenya jam 9.15 pagi tadi.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berlepas pulang ke tanah air dari Lapangan Terbang Antarabangsa Jomo Kenyatta, Nairobi setelah menamatkan lawatan kerja ke tiga negara Afrika pada 24 November 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim

“Alhamdulillah, YAB Perdana Menteri telah selamat tiba di tanah air setelah lapan hari bermusafir membawa agenda besar negara ke Ethiopia, Afrika Selatan dan Kenya.

“Dalam kesempatan yang singkat, saya sempat memaklumkan perkembangan terkini berhubung situasi semasa musibah banjir MTL yang sedang melanda beberapa negeri dan hal-hal berkaitan perkhidmatan awam,” katanya dalam hantaran di media sosial hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berlepas pulang ke tanah air dari Lapangan Terbang Antarabangsa Jomo Kenyatta, Nairobi setelah menamatkan lawatan kerja ke tiga negara Afrika pada 24 November 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Anwar memulakan lawatan itu pada 18 November lepas ke Ethiopia, yang pertama oleh seorang Perdana Menteri Malaysia, sebagai membalas kunjungan rasmi rakan sejawatnya, Dr Abiy Ahmed Ali, pada Oktober 2024.

Dari Addis Ababa, Perdana Menteri berlepas ke Johannesburg, Afrika Selatan bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin G20 dari 20 hingga 23 Nov sebelum mengadakan lawatan kerja ke Nairobi, Kenya dari 23 hingga semalam.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada sesi pertama Sidang Kemuncak Pemimpin G20 di Afrika Selatan pada 22 November 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Anwar serta delegasi berlepas pulang dari State Pavilion Terminal di Lapangan Terbang Antarabangsa Jomo Kenyatta pada 7 malam Isnin waktu tempatan (12 tengah malam Selasa waktu Malaysia) dan tiba pagi tadi.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *