1MDB: Mahkamah Putuskan 4 Surat ‘Derma Arab’ Diguna Dalam Pembelaan Najib Adalah PALSU

Ketibaan Najib di Istana Kehakiman Putrajaya jam 8.25 pagi disambut ‘puluhan ribu’ penyokongnya yang setia menanti sejak jam 5 pagi 26 Disember 2025.

PUTRAJAYA, 26 Dis – Empat surat derma Arab yang dijadikan sandaran oleh Datuk Seri Najib Razak untuk pembelaannya dalam kes rasuah 1Malaysia Development Bhd (1MDB) adalah palsu, demikian diputuskan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, ketika menyampaikan keputusannya, berkata surat-surat terbabit tidak pernah dikemukakan dalam bentuk asal kepada mahkamah.

Justeru, katanya, tindakan itu satu cubaan oleh tertuduh untuk mengabsahkan dakwaannya bahawa dana yang diterimanya adalah sumbangan derma.

Suasana di ruang legar perkarangan Istana Kehakiman Putrajaya pada rakaman jam 10.50 pagi 26 Disember 2025.

Sequerah turut menyatakan bahawa tiada pengesahan dilakukan oleh bekas Perdana Menteri itu bagi memastikan dana berkenaan benar-benar berasal daripada keluarga Raja Abdullah dari Arab Saudi.

“Tertuduh (Najib) menyandarkan kepercayaannya kepada lingkungan lebih luas dalam keluarga diraja. Cara dana itu disalurkan adalah sepenuhnya terpulang kepada Raja Abdullah. Perkara ini tidak menguatkan pembelaan,” katanya.

Sequerah menambah bahawa penjejakan dana menunjukkan ia disalurkan melalui syarikat persendirian pihak ketiga, iaitu Vista Equity, Blackstone dan Tanore — entiti milik pembiaya dalam buruan, Eric Tan.

Pasukan keselamatan mengawal ketat laluan keluar masuk Istana Kehakiman Putrajaya pada 26 Disember 2025.

Beliau juga mendapati adalah luar biasa tiada pengakuan bertulis dihantar kepada keluarga raja Arab berkenaan bagi menyatakan penghargaan atas sumbangan yang didakwa itu.

“Naratif derma itu juga tidak direkodkan dalam minit Mesyuarat Kabinet. Beliau bertindak secara sengaja menutup mata dan oleh itu dana berkenaan dianggap sangat meragukan,” katanya.

Hakim menambah, Najib mempunyai sumber untuk mengesahkan kesahihan dana berkenaan, sekali gus memutuskan bahawa naratif derma Arab itu tidak berasas dan dana terbabit sebenarnya berpunca daripada 1MDB.

Puluhan ribu penyokong Najib berhimpun di hadapan laluan masuk ke perkarangan Istana Kehakiman Putrajaya pada 26 Disember 2025.

“Mahkamah ini mendapati pembelaan derma dari Arab tidak boleh dipercayai dan gagal menangkis anggapan suapan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM,” kata hakim itu.

Bagaimanapun selepas membaca dapatan kes hampir tiga jam, mahkamah menangguhkan sementara keputusan Najib sehingga laporan ini ditulis.

Dalam prosiding yang berlangsung di Istana Kehakiman di sini, Hakim Collin  menangguhkan prosiding dan menetapkan pukul 3 petang ini bagi menyambung penghakimannya selepas solat Jumaat.

Kenderaan membawa Najib dilihat memasuki laluan khas tertuduh di perkarangan Istana Kehakiman Putrajaya pada 26 Disember 2025.

Terdahulu, berdasarkan penghakiman yang dibaca Hakim Collin berkata, mahkamah berpuas hati bahawa empat pertuduhan (salah guna kuasa) tidak kabur dan tidak bertindih antara satu sama lain.

Pada masa sama, mahkamah turut menolak hujahan pembelaan bahawa pertuduhan adalah tidak jelas dan saling bertindih menyebabkan kesukaran kepada Najib untuk memahaminya dan menyediakan pembelaan.

Mengikut pertuduhan, Najib didakwa empat pertuduhan menggunakan kedudukan ketika itu bagi memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram.

Sekiranya mahkamah menolak permohonan tersebut, Najib perlu kekal di Penjara Kajang sehingga tamat tempoh pemenjaraannya.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan kesalahan berkait suapan berkenaan di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini, antara 24 Februari 2011 hingga 19 Disember 2014.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.

Bekas Menteri Kewangan itu berdepan hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda hingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram pula, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank sama antara 22 Mac 2013 hingga 30 Ogos 2013.

Kesemua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta dan penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *