1MDB: Kecam Keras Cubaan Jho Low Cuba Dapatkan ‘Pengampunan’ AS

Faizul tegaskan, Jho Low yang masih berstatus Notis Merah seperti dalam senarai Polis Antarabangsa (Interpol) tidak boleh lari daripada tindakan undang-undang negara.
KUALA LUMPUR, 13 Mei – Pelbagai pihak mengecam keras tindakan pelarian dalam buruan antarabangsa, Lho Taek Jho atau Jho Low cuba mendapatkan pengampunan daripada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump hari ini.
Pengerusi Pertubuhan Media Komunikasi Johor, Faizul Abdul Ghani menegaskan, walaupun masih berstatus ‘belum pasti’, namun penjenayah yang dikehendaki atas skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) itu tidak boleh terlepas daripada tindakan undang-undang di Malaysia.
“Jho Low yang masih berstatus Notis Merah seperti dalam senarai Polis Antarabangsa (Interpol) tidak boleh lari daripada tindakan undang-undang negara kerana jenayah rentas sempadan ini telah merosakkan banyak ekonomi rentas negara antaranya Singapura, Switzerland, AS, United Kingdom (UK) dan Hong Kong selain Malaysia.

“Perbuatan beliau tidak boleh diampunkan sama sekali atas alasan apa sekalipun kerana jenayah yang dilakukannya bukannya kecil kerana banyak bank ditutup serta melibatkan kerugian berbilion ringgit dan hutang yang terpaksa dilunaskan sehingga 2039,” tegasnya.
Sementara itu, Pertubuhan Kebajikan Otai Reformis Malaysia (PKORM) juga membantah sebarang tindakan memgampunkan penjenayah yang hidup dalam buangan itu.
Menurut Pengerusinya, Mustapa Mansor, rakyat Malaysia digesa membuat bantahan kepada pihak berkuasa AS atas sebab beliau amat dikehendaki di Malaysia bagi menghadapi pertuduhan jenayah yang disenaraikan agensi seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Jalan yang terbaik adalah Jho Low menyerah diri kepada pihak berkuasa di mana beliau berada dan kerajaan memohon ekstradisi bagi membawa beliau pulang seperti mana yang dilakukan beberapa proksi beliau tahun lalu,” katanya.
Terdahulu, beberapa laporan yang mengetahui perkara itu berkata, permohonan berkenaan dikemukakan beberapa minggu ini dan jika diluluskan, ia akan menggugurkan pertuduhan jenayah dihadapinya di AS.
Menurut laporan itu, laman web Jabatan Kehakiman (DOJ) AS menyenaraikan satu permohonan atas nama Taek Jho Low masih dalam proses bagi ‘Pengampunan selepas Menjalani Hukuman’ yang difailkan tahun ini.

Seorang pegawai Rumah Putih berkata, permohonan Low tidak berada dalam perhatian Rumah Putih ketika ini.
Pada 25 November tahun lalu, sekutu dan kakak ipar Jho Low diperintahkan Mahkamah Tinggi untuk membayar ganti rugi berjumlah keseluruhan AS$2.8 bilion (RM11.56 bilion) kepada syarikat pelaburan strategik negara itu.
Hakim Mahkamah Tinggi, Mahazan Mat Taib memerintahkan sedemikian selepas membenarkan 1MDB dan empat entitinya memasukkan penghakiman ingkar terhadap Tan Kim Loong dan Low May Lin dalam saman bagi menuntut semula wang diterima mereka yang diselewengkan daripada syarikat itu.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
