Perangi Rasuah Perlu Dokongan Semua Pihak

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil mengiringi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri Sambutan Hari Anti Rasuah 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 5 Disember 2025. Foto Bernama
KUALA LUMPUR, 3 Feb – Keyakinan rakyat adalah antara elemen penting dalam usaha memerangi rasuah secara menyeluruh di negara ini tanpa mengira pangkat dan kedudukan seseorang demi menyelamatkan negara.
Ini ditegaskan Ketua Pesuruhjaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki yang berkata, tanpa kepercayaan rakyat, sukar untuk agensi seperti SPRM menjalankan peranannya dengan baik.
“Dalam kita menguatkuasakan undang-undang memerangi rasuah dalam negara dan pastikan tidak berlaku campur tangan politik, aspek (lain) yang penting adalah mendapatkan keyakinan rakyat.

“Kalau rakyat tak yakin, maka mereka tidak akan faham mengenai usaha kita dan tentunya (usaha) perangi rasuah takkan berjalan dengan baik.
“Contoh di Asia Tenggara, lebih besar populasi, lebih sukar (nak dapatkan keyakinan rakyat), bayangkan Malaysia dengan populasi 34 juta, bagaimana dengan negara lain seperti Indonesia yang penduduknya 240 juta, tentunya ini satu cabaran untuk memberi kefahaman kepada rakyat mengenai niat memakmurkan negara masing-masing,” katanya.
Beberapa kes berprofil tinggi yang disiasat dan didakwa di mahkamah membuktikan agensi pencegahan rasuah itu tidak berkompromi terhadap mana-mana pihak seperti ditegaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri.

Pencegahan rasuah boleh bermula di sekolah, institusi pengajian tinggi dan sektor awam serta swasta bagi memahami gejala rasuah boleh meruntuhkan sesebuah negara.
Tidak dapat tidak, semua pihak perlu berganding bahu memerangi gejala itu sama ada secara kecil-kecilan mahupun melibatkan jumlah wang yang besar kerana sedikit sahaja kesilapan, negara boleh rosak binasa akibat rasuah yang menggila.
Malaysia turut menjadikan pelbagai platform sebagai ruang berkongsi pengalaman mengenai undang-undang berkaitan antirasuah memandangkan Malaysia antara negara di Asia Tenggara terawal yang menubuhkan agensi antirasuah.
Agenda utama kerajaan ini jelas menunjukkan bahawa rasuah mesti diperangi habis-habisan dari segenap segi tanpa berkompromi dengan sebarang tindakan daripada mana-mana pihak yang cuba menyembunyikannya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
