12,000 Liter Diesel Dipercayai Cuba Diseleweng Dirampas KPDN Sarawak

KPDN Sarawak tumpaskan aktiviti penyelewengan 12,000 liter diesel dalam satu serbuan di Kuching.

KUCHING, 6 Jan – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sarawak berjaya menumpaskan aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi yang dianggarkan bernilai RM26,000 di bandar raya ini.

Pengarah KPDN Sarawak, Matthew Dominic Barin berkata, KPDN bersama Cawangan Khas Kontijen Sarawak menerusi Ops TIRIS turut menahan enam warga tempatan di lokasi kejadian.

“Hasil pemeriksaan KPDN telah menyita eksibit iaitu sebuah kenderaan lori bonded dan sebuah lori tanker.

“Minyak diesel dianggarkan 12,000 liter dengan anggaran nilai RM26,000. Keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM115,000,” katanya menerusi kenyataan, semalam.

KPDN Sarawak tumpaskan aktiviti penyelewengan 12,000 liter diesel dalam satu serbuan di Kuching.

Matthew berkata, kes disiasat di bawah Seksyem 20 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961, menyimpan barangan kawalan di tempat yang tidak dilesenkan oleh pegawal bekalan.

Katanya sekiranya disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi dua juta ringgit (RM2 juta) bagi kesalahan pertama dan denda tidak melebihi lima juta (RM5 juta)  bagi kesalahan kedua untuk pertubuhan perbadanan.

“Bagi yang bukan satu pertubuhan perbadanan, jika disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta bagi kesalahan pertama atau penjara tidak melebihi tempoh selama tiga tahun atau kedua-duanya.

“Denda tidak melebihi RM3 juta bagi kesalahan kedua atau penjara tidak melebihi tempoh selama lima tahun atau kedua-duanya,” tegas beliau.

Sementara itu mengulas lanjut beliau memaklumkan sepanjang tahun lepas, dari 1 Januari hingga 31 Disember 2023, KPDN Sarawak telah menghasilkan sebanyak 233 kes di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dengan nilai rampasan sebanyak RM12,045,688.15 dan nilai kompaun sebanyak RM827,000.

Seterusnya, tambah Matthew pegawai penguat kuasa KPDN Sarawak telah menjalankan 991 pemeriksaan ke atas stesen minyak dan pemborong minyak diesel di seluruh negeri Sarawak sejak 1 Mac 2023 di bawah Ops TIRIS.

“Masyarakat dimohon menjadi mata dan telinga bagi membantu kementerian dengan menghulurkan maklumat sebarang aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi.

Antara foto serbuan KPDN Sarawak yang berjaya menumpaskan aktiviti penyelewengan 12,000 liter diesel.

“Ini bagi memastikan aktiviti haram ini dapat dibanteras sehingga ke akar umbi menyebabkan kerugian besar kepada rakyat dan Negara,” ujarnya.

Justeru, katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi boleh menyalurkan aduan yang lengkap kepada pihak Kementerian.

Antaranya WhatsApp 019-279 4317 / 019-848 8000; atau Portal e-Aduan KPDN iaitu http://e.aduan.kpdn.gov.my; atau Call Centre 1-800-886-800; atau  E-mel (e-aduan@kpdn.gov.my); Aplikasi Telefon Pintar Ez ADU KPDN; dan Bilik Gerakan Penguatkuasaan 03-8882 6088 / 6245.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *