Ziarah MADANI Temukan Ahmad Farhan Dengan Pesakit Barah, PM Anwar Hulur Sumbangan

Ahmad Farhan mewakili Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan sumbangan kepada Rozani yang menghidap barah di kediamannya di Taman Sekilau Mewah, Kuantan pada 9 September 2025. Foto Facebook Farhan Fauzi
KUALA LUMPUR, 10 Sep – Perjuangan melawan barah rahim menemukan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi dengan Rozani Ghani dalam sesi Ziarah MADANI di kediamannya di Taman Sekilau Mewah, Kuantan, Pahang pada Selasa.
Menerusi hantaran di Facebook yang dikongsikan Perdana Menteri, Ahmad Farhan tersentuh hati dengan ketabahan Rozani yang turut menjaga anaknya, Amira Iliani yang menghidap penyakit SLE.
“Mereka menetap di Taman Sekilau Mewah, Kuantan, dan kisah dua beranak ini benar-benar menyentuh hati saya.

“Meskipun diuji dengan kesakitan yang berat, senyuman dan semangat mereka terpancar begitu jelas membuktikan betapa kuatnya kasih sayang seorang ibu dan anak,” katanya yang turut diiringi ADUN Semambu, Chan Chun Kuang.
Susulan itu, Ahmad Farhan mewakili Perdana Menteri, menyampaikan sumbangan tunai serta bakul makanan sebagai tanda keprihatinan dan solidariti kepada Rozani sekeluarga.
“Semoga Allah SWT mengurniakan kesembuhan, rahmat dan keberkatan buat keluarga ini, ujarnya menutup bicara.

Warganet yang singgah di laman Facebook Perdana Menteri turut tersentuh dengan kegigihan Rozani membesarkan anaknya yang menghidap SLE dalam serba kekurangan.
“Kisah Puan Rozani dan Amira benar2 menggugah hati. DSAI selalu tunjukkan kepedulian terhadap rakyat, dan sokongan seperti ini knp perlu diperluas sbb rakyat perlukan lebih perhatian,” ujar Kamisah Abdul Rahim.
Mak Enab pula menulis, “Mendengar kisah Puan Rozani dan Amira sangat menyentuh hati. Ini menunjukkan betapa pentingnya sokongan komuniti dan kerajaan utk mereka yg memerlukan. PMX sll (selalu) menunjukkan keprihatinan, moga lebih ramai yg dibantu. Kita perlu bersatu demi kemanusiaan”.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
