Walau Berdepan Kekangan Kewangan, Peruntukan Sukan Tak Dipotong – PM Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada majlis Anugerah Sukan Negara 2025 di MSN Bukit Jalil pada 19 Mei 2026. Foto PMO
KUALA LUMPUR, 19 Mei – Kerajaan MADANI memberi jaminan peruntukan bagi aktiviti sukan dan kebajikan atlet akan tetap dipelihara walaupun negara berdepan kekangan kewangan ketika ini ekoran konflik di Asia Barat, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Berucap pada majlis Anugerah Sukan Negara 2025, di sini hari ini, Perdana Menteri menegaskan, kebajikan atlet terus diberi tumpuan, termasuk melibatkan aspek latihan dan kemudahan yang disediakan.

Anwar yang juga Menteri Kewangan mahu ia diteruskan bagi memastikan bidang sukan negara ini dapat terus dijayakan, susulan pencapaian cemerlang yang ditunjukkan atlet, termasuk mencapai prestasi lebih baik serta melepasi jangkaan asal kontinjen negara di temasya sukan antarabangsa.

“Walaupun kita kata ada kekangan kewangan, saya beri jaminan dan beritahu Taufiq (Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari) dalam mesyuarat Jemaah Menteri, acara kegiatan dan kebajikan sukan tetap kita pelihara sepenuhnya. Tidak ada potongan.

“Saya ingat atlet ini bimbang sikit, susah hati (jika peruntukan dipotong). Jangan bimbang. Itu bukan masalah saya dan bukan masalah anda, itu masalah menteri.

“Jadi, mudah-mudahan kita lihat kejayaan terus di negara kita. Kita sudah capai tahap yang membanggakan,” katanya.

Sehubungan itu, Perdana Menteri meminta Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menggunakan sebarang lebihan peruntukan untuk tujuan kebajikan atlet.

“Jika mahu jayakan sukan, olahraga negara ini, tumpuannya mestilah kebajikan atlet.
“Itu menjadi faktor nombor satu. Lebih selesa dan mudah serta tempat latihan lebih baik,” katanya.

Pada majlis itu, Perdana Menteri menyampaikan Anugerah Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan kepada pasangan beregu campuran negara, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
