Uzbekistan Pula Bergolak, Korban Tunjuk Perasaan Meningkat

ALMATY, 4 Jul – Presiden Uzbekistan, Shavkat Mirziyoyev semalam mengesahkan terdapat korban dalam kalangan orang awam dan pegawai penguatkuasa undang-undang selepas protes berlaku di negara Asia Tengah itu.

Malah, seorang pegawai kerajaan tempatan memberitahu laman web berita Uzbekistan bahawa beribu-ribu mangsa dimasukkan ke hospital.

Dalam satu kenyataan yang disiarkan dalam talian Mirziyoyev melaporkan, perusuh melakukan ‘tindakan memusnahkan’ di bandar Nukus, ibu kota wilayah Karakalpakstan, dengan membaling batu, memulakan kebakaran dan menyerang polis.

“Malangnya terdapat mangsa dalam kalangan orang awam dan pegawai penguatkuasa undang-undang,” katanya.

Bagaimanapun, kenyataan itu tidak menyebut jumlah dan siapa mangsa.

Ketua Kementerian Kesihatan Republik Karakalpakstan, Sultanbek Ziyayev pula memberitahu laman web berita Daryo.uz bahawa hospital di Nukus penuh dengan pesakit yang cedera selepas penunjuk perasaan bertempur dengan pasukan keselamatan.

“Ribuan yang cedera dimasukkan ke hospital dan sedang dirawat,” katanya.

Gambar-gambar dari Nukus yang diterbitkan semalam oleh laman web berita, Kun.uz, ​​menunjukkan penghadang jalanan, trak terbakar dan kehadiran tentera yang ramai termasuk kenderaan berperisai.

Video yang dikongsi di media sosial menunjukkan sekurang-kurangnya dua orang yang cedera parah dengan seorang berdarah di perut, manakala seorang sedang menjerit.

Satu lagi imej menunjukkan seorang lelaki muda membongkok di sebelah mayat yang kelihatan tidak bernyawa di jalan, menjerit ‘seorang lelaki sedang nazak’ dan kemudian berlari mencari perlindungan ketika tembakan kedengaran.

Bagaimanapun Reuters tidak dapat segera mengesahkan ketulenan video itu.

Sementara itu, seorang ahli politik pembangkang dalam buangan, Pulat Ahunov, berkata kepada Reuters, berdasarkan hubungan dengan sumber tempatan dan bukti video, sekurang-kurangnya lima orang terbunuh.

Malah, beliau berkata, terdapat laporan mengenai berpuluh-puluh lagi kematian, namun belum lagi dapat disahkan.

Ahunov berkata, orang ramai tidak dapat bergerak serta memperoleh maklumat kerana keadaan darurat yang dikenakan pihak berkuasa.

Uzbekistan adalah bekas republik Soviet yang dikawal ketat di mana kerajaan mengekang secara keras sebarang bentuk perbezaan pendapat.

Setakat ini, ia adalah kejadian kekacauan kedua di negara Asia Tengah tahun ini, selepas Kazakhstan menumpaskan protes besar-besaran pada Januari lalu, manakala tentera Russia serta bekas republik Soviet yang lain dihantar membantu pihak berkuasa memulihkan keadaan.

Protes di Uzbekistan didorong oleh perubahan perlembagaan yang dirancang, yang akan melucutkan status autonomi Karakalpakstan.

Presidennya turut membatalkan rancangan itu kelmarin.

– REUTERS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *