‘Sebenarnya Pas Dan Umno Sama-Sama “Cap Ayam”’

MARANG, 3 Jul – Pas dilihat seakan tidak terkesan dan enggan melayan dakwaan yang melabelkan menteri daripada parti itu sebagai ‘cap ayam’ sehingga menjadi beban besar kepada pentadbiran Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob.
Timbalan Presidennya, Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata barisan menteri daripada Pas kononnya sudah melaksanakan tugas yang diberikan mengikut portfolio masing-masing.
Beliau berkata, pihaknya juga menyerahkan kepada Perdana Menteri dan rakyat untuk membuat penilaian terhadap hasil prestasi kerja mereka.
“Saya nak tengok juga siapa Menteri Pas yang ‘cap ayam’ itu, bukan dia yang buat penilaian, penilaian prestasi Menteri dinilai oleh Perdana Menteri, bukan orang luar, yang tak ada kena mengena, yang ada kepentingan peribadi.
“Bagi saya, yang berhak menilai selain daripada rakyat ialah Perdana Menteri mengenai Kabinet dia dan kita pun sentiasa ada pertemuan, pelaporan dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas satu majlis di Pantai Marang di Dewan Sivik Merchang, di sini, hari ini.

Tuan Ibrahim yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air berkata, pertemuan antara Perdana Menteri bersama menteri dan timbalan menteri juga sentiasa diadakan.
“Alhamdullilah, kita (iaitu) Menteri Pas, Timbalan Menteri, kita adakan pertemuan dengan Perdana Menteri untuk kita berkongsi, tukar pendapat apa yang perkara perlu kita baiki. Setakat ini, Alhamdulillah prestasi kita,” katanya.
Pun begitu, ada beberapa persoalan yang tidak mampu dijawab Tuan Ibrahim dari segi integriti dan prestasi bulanan setiap menteri yang pernah dijanjikan sendiri oleh Ismail Sabri.
Terdahulu, media sebelum ini melaporkan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor, Nur Jazlan Mohamed, menempelak prestasi ditunjukkan Menteri Kabinet daripada Pas yang didakwa gagal memikul tanggungjawab dengan baik.
Bekas Ahli Parlimen Pulai itu dilaporkan berkata, kelemahan kepemimpinan parti berkenaan turut menyebabkan Ismail Sabri dilihat perlu menanggung pelbagai masalah negara.
Nur Jazlan turut menyenaraikan beberapa Menteri Kabinet daripada Pas yang dilihat gagal melaksanakan tanggungjawab seperti yang diamanahkan kepada mereka, termasuk Presiden Pas, Abdul Hadi Awang.
Namun apa yang diperkatakan Nur Jazlan ada asasnya kerana seluruh menteri kabinet termasuk Ismail Sabri sendiri sebenarnya adalah ‘kabinet cap ayam’ yang terbukti gagal mengurus kenaikan harga barang dan peningkatan kos sara hidup sejak ‘merampas kuasa’ daripada Muhyiddin Yassin, Ogos tahun lalu.
Pas seharusnya tidak cepat melatah dengan ‘usikan’ Umno kerana mereka berdua sebenarnya gagal di mata rakyat hingga menjadi bahan ketawa rakyat di media sosial hampir setiap hari.
