Usaha Terus Dipergiat Kerajaan Pelbagaikan Sumber Tenaga Negara – PM Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan taklimat khas berhubung isu semasa di Putrajaya pada 1 April 2026.
PUTRAJAYA, 1 Apr – Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan, kerajaan meneruskan usaha mempelbagaikan sumber tenaga negara, seterusnya berupaya memastikan keterjaminan bekalan bahan api untuk kegunaan rakyat.
Perdana Menteri berkata, usaha itu termasuk mempelbagaikan sumber import minyak dan gas dari pelbagai negara antarabangsa lain.
“Usaha lain yang dipergiatkan termasuk apa yang agak kritikal iaitu jaminan bekalan tenaga negara.

“Pelbagaikan sumber import minyak dan gas dari negara lain, yang ini yang telah kita umumkan dan sekali lagi kerana kejayaan syarikat minyak negara kita PETRONAS mengendali dengan baik,” katanya pada taklimat khas di sini hari ini.
Pada masa sama, Anwar turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang memberikan sokongan dalam melaksanakan penjimatan kewangan dan tidak boros berbelanja.
“Saya ucap penghargaan kepada semua yang mengikuti semangat ini selain tidak boros dan tidak anggap keadaan itu biasa dengan mempamerkan kekayaan sewenang-wenang dan menunjukkan seolah-olah tidak ada yang terkesan.
“Sikap ini akan merugikan kita kerana rakyat di bawah sana petani, nelayan, pekerja masih ramai yang terhimpit.
“Jadi, golongan yang agak kaya yang tinggi kedudukan mereka jangan alpa, tunjukkan keprihatinan dan bantu dalam keadaan yang menekan ramai rakyat,” katanya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
