PM Anwar Jangka Proses Pemulihan Ambil Masa Lebih Panjang

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan taklimat khas berhubung isu semasa di Putrajaya pada 1 April 2026.
PUTRAJAYA, 1 Apr – Proses pemulihan kesan daripada konflik di Asia Barat dijangka lebih panjang susulan serangan Israel dan Amerika Syarikat terhadap Iran, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketika menyampaikan taklimat khas di sini hari ini, Perdana Menteri menjelaskan, jangkaan situasi itu dibuat menerusi perbualan beliau bersama beberapa pemimpin dunia termasuk Presiden Iran, Masoud Pezeshkian.
Untuk rekod, konflik di rantau Teluk itu kini memasuki bulan kedua dengan situasi terkini masih tidak menentu bergantung kepada kekerapan serangan di negara-negara terbabit.

“Dan daripada perbualan saya dengan Presiden Iran, pimpinan negara Teluk, Arab Saudi, Turkiye, Mesir dan juga kunjungan singkat ke Indonesia, semuanya menyatakan keadaan akan lebih parah sebelum dapat dipulihkan, ia tentunya akan mengambil masa lebih panjang.
“Apabila perkara ini berlaku, ia tentunya jejaskan rantaian bekalan global khususnya tenaga dari Malaysia tidak terkecuali,” katanya pada taklimat khas di sini hari ini.
Bagaimanapun, Anwar berkata, Malaysia perlu bersyukur kerana berdepan situasi itu ketika ekonomi stabil, seterusnya mampu menawarkan RON95 pada kadar RM1.99.

“Itu mengejutkan kerana kalau lihat kos dan harga minyak dengan orang terpaksa beratur, ada catuan di negara-negara rantau itu tentunya merimaskan.
“Jadi, bila keadaan ini melegakan sedikit tidak bermakna kita boleh selesa.
“Penyakit mana-mana masyarakat baik keluarga kita atau negara kita, kalau kita agak terlalu selesa dan ambil pandang ringan sahaja, enteng ini akan mungkin mengundang masalah yang lebih berat,” katanya.
Anwar berkata, rakyat juga harus menerima kenyataan bahawa keadaan tidak akan berlaku seperti biasa.
“Kalau keadaan itu mencemaskan, maka kita juga mesti bertindak sesuai dengan tuntutan masa dan kita mesti ikut rancangan kita,” jelasnya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
