Usah Gentar Provokasi Murahan, Terus Kibar Jalur Gemilang

Seruan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada seluruh rakyat Malaysia agar menzahirkan rasa cinta kepada negara dapat diterapkan kepada semua golongan termasuk para pelajar. Foto Facebook Anwar Ibrahim
PENDAPAT, 19 Ogos – Berbaki kurang 10 hari lagi sebelum sambutan Hari Kebangsaan ke-68, jangan sesekali kita gentar dengan ugutan pihak yang digelar sebagai ‘samseng Kampung Dusun’ atau mana-mana kelompok yang cuba menakut-nakutkan rakyat untuk menunjukkan kecintaan kepada negara.
Taktik provokasi murahan mereka tidak lebih sekadar cubaan melemahkan semangat patriotik rakyat Malaysia yang selama ini hidup bersatu padu dalam kepelbagaian.
Sebaliknya, seluruh rakyat harus berdiri teguh, mengibarkan Jalur Gemilang dengan penuh megah sebagai simbol kedaulatan, perpaduan, dan semangat cintakan tanah air tanpa perlu merasa takut kibarannya dicemuh asalkan dipamerkan dengan kemas dan betul.

Sambutan Hari Kebangsaan ke-68 dan Hari Malaysia 2025 bukan sekadar acara tahunan atau cuti umum semata-mata, tetapi merupakan manifestasi penting untuk memperingati perjuangan tokoh-tokoh terdahulu yang berkorban demi mencapai kemerdekaan serta menyatukan Semenanjung, Sabah dan Sarawak dalam kibaran satu bendera.
Jalur Gemilang adalah lambang maruah negara yang tidak boleh dipandang ringan atau dihina oleh mana-mana pihak. Kibarannya bukan sekadar rakyat menghantar mesej jelas bahawa Malaysia ialah negara yang teguh, berdaulat, dan tidak akan tunduk pada ancaman, tetapi menzahirkan rasa bangga dan beretika.
Justeru, masyarakat wajar menjadikan bulan kemerdekaan sebagai platform menyemarakkan rasa cinta kepada tanah air dengan memasang Jalur Gemilang di rumah, premis perniagaan, sekolah, dan kenderaan masing-masing.

Sikap berani dan teguh ini akan membuktikan bahawa ugutan tidak mampu menggugat perpaduan nasional. Inilah semangat sebenar Malaysia MADANI – negara yang berpaksikan kekuatan rakyat, berani mempertahankan maruah, dan sentiasa bersatu di bawah panji Jalur Gemilang.
Bak lirik nyanyian Datuk Seri Siti Nurhaliza dalam lagu ‘Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni’ – kita semua sama Malaysia!
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
