Undi Bukan Islam: Jabatan Pendidikan Pahang Siasat Komen Guru

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menyampaikan ucapan pada majlis perasmian Program Sekolah Dalam Hospital (SDH) di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar. Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 3 Jun – Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mengesahkan aduan berhubung komen menyinggung perasaan yang didakwa dilakukan oleh seorang guru di Pahang kini dalam siasatan.

Memetik laporan Malaysiakini, beliau berkata, Jabatan Pendidikan Pahang dan unit integriti kementerian sedang menyiasat perkara berkenaan.

“Tindakan tegas akan diambil ke atas sesiapa sahaja yang telah dibuktikan melanggar peraturan tatatertib berdasar kepada peruntukan yang ditetapkan,” katanya.

Sebelum ini, seorang pengguna media sosial, Facebook mengulas laporan akhbar tentang Selangor mula menumpukan pengajaran kepada kitab Turath.

Ia merupakan kitab-kitab tradisional yang berisi pelajaran-pelajaran agama Islam oleh ulama silam.

Susulan itu, pengguna berkenaan meninggalkan komen sinis yang menyatakan tidak guna seseorang itu mempelajari pelbagai kitab agama jika akhirnya mengundi bukan Islam.

Setiausaha Politik Menteri Pendidikan, ‘Atiqah Syairah Shaharuddin mahu pihak Unit Integriti KPM mengambil tindakan sewajarnya ke atas komen jelik dipercayai dilakukan seorang guru. Foto Arkib

Berhubung isu sama, Setiausaha Politik Fadhlina, Atiqah Syairah Shaharuddin turut mengeluarkan kenyataan bahawa pihaknya menerima aduan mengenai komen menyinggung perasaan itu.

Menurut Atiqah, dapatan awal mendapati guru berkenaan masih mengajar dan memegang jawatan signifikan di sebuah sekolah di Pahang.

Ujarnya, Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) telah membuat siasatan awal dan bersedia untuk tindakan lanjut sejurus pembukaan penggal persekolahan Selasa ini.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menyampaikan ucapan pada majlis perasmian Program Sekolah Dalam Hospital (SDH) di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar. Foto Bernama

Mengulas lanjut, Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal turut mengingatkan guru bahawa penjawat awam wajib mematuhi peruntukan ditetapkan termasuk ketika menggunakan media sosial.

“Media sosial perlu digunakan dengan penuh bertanggungjawab dan berdasar kepada garis panduan nilai dan etika yang sedang berkuat kuasa,” katanya.

  • Oleh Nor Syamira Liana


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *