Bicara Kes Pecah Amanah IPIC Najib, Irwan Serigar Bermula 19 Jun

Perbicaraan kes CBT dana kerajaan sebanyak RM6.6 bilion sebagai bayaran kepada IPIC membabitkan Najib dan Mohd Irwan di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini, ditangguhkan ke 19 Jun ini. Foto Sam Fong (2014)
KUALA LUMPUR, 4 Jun – Mahkamah Tinggi di sini hari ini memberi masa dua minggu sehingga 19 Jun ini kepada pihak pendakwaan untuk melengkapkan dokumen kes pecah amanah (CBT) dana kerajaan sebanyak RM6.6 bilion sebagai bayaran kepada Syarikat Pelaburan Petroleum Antarabangsa (IPIC) kepada pihak Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah.
Hakim, Datuk Muhammad Jamil Hussin membenarkan perkara itu selepas peguam, Datuk K Kumaraendra yang mewakili Mohd Irwan memaklumkan bahawa terdapat 100 dokumen belum diserahkan kepada pihak pembelaan.
Semasa prosiding, Kumaraendra mewakili Mohd Irwan yang juga bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan berkata, antara dokumen terbabit ialah memo surat mesyuarat Kabinet dan e-mel yang merujuk kepada pernyataan saksi pembelaan.
“Dokumen berkenaan sangat penting terutama kepada anak guam saya namun langsung tidak diberikan kepada pihak kami,” katanya.

Pada 3 Mac 2022, Hakim, Datuk Muhammad Jamil Hussin menolak permohonan Najib, 70, dan Mohd Irwan, 67, agar mereka dilepas tanpa dibebaskan daripada semua pertuduhan atas alasan pihak pendakwaan bersedia untuk menjalankan kes.
Pada 25 Oktober 2018, Najib dan Mohd Irwan mengaku tidak bersalah atas enam pertuduhan pecah amanah ke atas harta Kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion berkaitan bayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC).
Kesalahan didakwa dilakukan di Kompleks Kementerian Kewangan di Putrajaya antara 21 Disember 2016 dan 18 Disember 2017.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
- Bernama
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
