Undang-Undang Antarabangsa Perlu Dilaksana Saksama – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada Forum Ilmuan Malaysia MADANI bertajuk ‘Strategi bagi Malaysia dan ASEAN dalam Era Ketidakstabilan’ di Putrajaya pada 16 Mac 2026.
PUTRAJAYA, 16 Mac – Undang-undang antarabangsa perlu terpakai secara saksama kepada semua jika mahu kredibilitinya dikekalkan, tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, prinsip perundangan antarabangsa akan hilang kewibawaannya apabila ia dikuatkuasakan secara terpilih, dengan ketidakselarasan yang berlaku menggugat keyakinan terhadap asas utama sistem antarabangsa itu sendiri.

“Sebagaimana saya sentuh sebelum ini, sekiranya undang-undang antarabangsa ingin mengekalkan kewibawaannya, ia mestilah terpakai secara saksama kepada semua,” katanya.
Beliau menyampaikan ucaptama pada Forum Ilmuan Malaysia MADANI bertajuk Strategi bagi Malaysia dan ASEAN dalam Era Ketidakstabilan Global dengan Prof Jaffery D Sachs, Presiden Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Mapan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDSN), hari ini.

Turut hadir, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir dan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Perdana Menteri berkata forum itu diadakan tatkala peperangan sedang melanda sebuah negara berdaulat iaitu Iran dan rakyatnya, yang didorong cita-cita hegemoni Israel di Asia Barat, dengan bantuan Amerika Syarikat.

Peperangan itu katanya menyasarkan pemimpin keagamaan, politik dan ketenteraan yang dibunuh, manakala serangan misil membunuh murid sekolah yang sedang mengikuti pembelajaran.
“Ketika statistik kematian terus meningkat, bukan hanya di Iran tetapi juga di tempat lain, seperti di Gaza dan Labenon, bandar raya yang kaya dengan warisan sejarah dibom secara membuta tuli sementara kemudahan utama air dan tenaga dimusnahkan sepenuhnya,” katanya.

Pada masa sama, Anwar berkata, sejarah mengingatkan bahawa sebarang konflik di rantau itu amat jarang dan hanya terbatas dalam sempadan wilayahnya.
Tegas beliau, peperangan di Iran juga sudah mula mengganggu pasaran tenaga global.

“Saya baru mempengerusikan mesyuarat tergempar Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) dan sudah tentu kami perlu membincangkan beberapa isu utama kerana peperangan ini mempunyai implikasi yang meluas ke seluruh dunia dan turut menjejaskan kita di sini, di Malaysia.
Justeru, ia membawa kesan geopolitik dan geoekonomi yang meluas kepada seluruh dunia , komuniti yang berpecah-belah, institusi yang lemah, serta penghakisan kepercayaan,” katanya.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
