Umno-BN Sengaja Undang Kemarahan Rakyat – Amran

PADANG BESAR, 31 Ogos – Laporan yang mengatakan pihak berkuasa akan memanggil Timbalan Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli berhubung ‘fitnah’ terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Abd Latiff Ahmad dalam masa terdekat, seolah membuktikan bahawa Umno-Barisan Nasional (BN) tidak pernah sedar daripada kekalahan mereka pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
Naib Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Perlis, Amran Kamarudin (gambar kanan) sebaliknya berkata, siasatan terhadap Rafizi bakal menambah impak negatif terhadap Umno-BN selain meneruskan amalan menekan pemimpin pembangkang demi menutup skandal yang hangat diperkatakan kini, LCS.
“Mereka (Umno-BN) masih tidak belajar dari kisah silam dan masih belum sedar dari kekalahan mereka pada PRU-14.
“Mereka dah lupa bahawa segala pembongkaran skandal seperti LTAT, Tabung Haji, Lembu Kondo Shahrizat, MARA, 1MDB, SRC International dan sebagainya menyebabkan UMNO tumbang pada PRU14.
“Puncanya adalah kerana mereka tidak peduli dengan kemarahan rakyat terhadap penyalahgunaan kuasa untuk menghukum pembongkar skandal-skandal mencuri wang rakyat,” katanya ketika diminta mengulas laporan berkenaan.
Amran yang juga Ketua Cabang KEADILAN Padang Besar berpendapat sekiranya bekas Ahli Parlimen Pandan itu terus disiasat sedangkan laporan polis terlebih dahulu dibuat oleh Pengarah Strategi KEADILAN, Akmal Nasir tetapi tiada tindakan, ini bermakna mereka sengaja mengundang kemarahan rakyat.
“Umno-BN ingat, jika mereka peralat pihak berkuasa untuk diamkan Rafizi maka semua skandal menteri curi wang rakyat boleh disenyapkan.
“Ini bukan sahaja menyebabkan kerajaan Ismail Sabri gagal sepenuhnya mendaulatkan undang-undang, malah sengaja mengundang kemarahan rakyat akibat tindakan dilakukan secara berpilih, pemimpin pembangkang disiasat sedangkan menteri menyeleweng terus terlepas.
“Beliau (Rafizi) ialah Timbalan Presiden KEADILAN yang bukan saja boleh membongkar skandal LCS, malah lebih banyak skandal melibatkan pemimpin kerajaan akan terus dibongkar,” tambahnya.
Terdahulu, media melaporkan polis akan memanggil Rafizi dalam masa terdekat ini berhubung dakwaan fitnah isu berkaitan projek kapal tempur pesisir (LCS).
Ini susulan kenyataan Rafizi didakwa kononnya memfitnah Latiff dalam blog rafiziramli.com berhubung kononnya Abdul Latiff mempunyai isteri kedua bernama Zainab Mohd. Salleh yang mendapat kontrak jutaan ringgit dengan Kementerian Pertahanan untuk projek LCS.
