Umat Islam Diseru Contohi Kepimpinan Rasulullah SAW – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru umat Islam agar terus meneladani ajaran dan kepimpinan Rasulullah SAW dalam membina bangsa serta negara yang berperadaban dan bersatu padu. Foto Facebook Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR, 5 Sep – Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru umat Islam untuk terus meneladani ajaran dan kepimpinan Rasulullah SAW dalam membina bangsa serta negara yang berperadaban dan bersatu padu.
Menerusi hantaran di Facebook, Perdana Menteri berkata, Rasulullah SAW merupakan contoh terbaik dalam membentuk masyarakat MADANI yang unggul, berakhlak, berilmu dan berdaya saing.
“Sewaktu manusia dahaga tauladan dan contoh budiman, sosok Rasulullah SAW menawarkan wawasan dan aspirasi kemanusiaan yang menyerlahkan suara kejujuran serta kejernihan jiwa terus menjadi panduan.
“Rasulullah SAW bukan sekadar peribadi unggul, Baginda juga simbol perpaduan dan pemimpin yang dihubungkan dengan Madinat al-Nabi yang sarat dengan nilai.
“Istilah al-Madinat al-Munawwarah pula mengisyaratkan tamadun kekotaan didasari cahaya petunjuk wahyu dan mengakar pada asas tauhid. Ia membayangkan aspirasi pembinaan kota sebagai tapak tamadun yang kemudiannya memberi dampak besar kepada dunia,” katanya.
Anwar berkata, melalui kepimpinan Rasulullah SAW di Madinah, Baginda telah meletakkan asas kemadanian yang kukuh berteraskan martabat insan, prinsip keadilan dan kedaulatan hukum, nilai ilmu, akhlak serta kemanusiaan.

“Masyarakat MADANI dalam erti umat yang berjaya dibentuk oleh Nabi SAW di Madinah itu adalah khayra ummah, iaitu masyarakat atau umat unggul yang dicirikan oleh iman, nilai-nilai khayr (kebaikan), bermanfaat kepada kemanusiaan sejagat, beriltizam terhadap tanggungjawab pendaulatan nilai-nilai makruf dan pembasmian gejala mungkar,” tambahnya.
Beliau turut memetik firman Allah SWT dalam Surah Ali Imran ayat 110:
“Kamu wahai umat Muhammad adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi faedah umat manusia kerana kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah serta kamu pula beriman kepada Allah dengan sebenar-benar iman.”
Perdana Menteri turut mengajak rakyat menjadikan hikmah dan kebijaksanaan Rasulullah SAW sebagai panduan menghadapi cabaran semasa.
“Berakar kepada sunnah kenabian dan berpohon kepada rahmah Allah SWT, ayuh kita hadapi ranjau dalam kembara membina bangsa dan negara dengan contoh dan hikmah ar-Rasul.
“Semoga dengan penghayatan dan kefahaman mendalam mengenai esensi ajaran dan warisan Baginda akan terus memandu dan menggerakkan kita semua untuk bekerja lebih kuat, berdisiplin dan optimis terhadap masa depan umat,” ujarnya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
