Ugutan Terhadap PM Anwar, Kerajaan, Dua Dicekup Bantu Siasatan

Datuk M Kumar berkata, tangkapan pertama melibatkan lelaki berumur 45 tahun yang disyaki membuat satu hantaran menerusi akaun TikTok dan satu lagi menerusi Facebook pada 7 September 2025. Foto Bernama
KUALA LUMPUR, 7 Sep – Dua lelaki berumur 44 dan 45 tahun ditahan kerana disyaki memuat naik hantaran berunsur ugutan jenayah, hasutan serta dakwaan tidak benar terhadap kerajaan dan perdana menteri menggunakan pelantar media sosial.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, tangkapan pertama melibatkan lelaki berumur 45 tahun yang disyaki membuat satu hantaran menerusi akaun TikTok bernama Mohd Soie (@mohd.soie3) yang mengandungi unsur hasutan dan penghinaan terhadap kerajaan.
“Tangkapan seterusnya melibatkan seorang lagi lelaki berumur 44 tahun, yang disyaki membuat satu komen berunsur ugutan jenayah terhadap perdana menteri menggunakan akaun Facebook Mdjohan Ngadin,” katanya dalam kenyataan.
Kedua-dua lelaki tempatan itu disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 506 dan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Kumar berkata, pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang dengan sengaja membuat, memuat naik, berkongsi atau menyebarkan kandungan berunsur hasutan, ugutan jenayah, berita palsu atau apa-apa kandungan yang boleh menimbulkan kegentaran awam serta menggugat keharmonian masyarakat.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web



