Ugut Bunuh PM Anwar, Bukit Aman Akan Buat Siasatan

Dua laporan polis dibuat AMK Wilayah Persekutuan dan AMK Selangor menggesa polis menyiasat individu yang melakukan ugutan bunuh terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim Dilanda IPD Dang Wangi pada 11 September 2025.
KUALA LUMPUR, 11 Sep – Susulan daripada laporan polis yang dibuat Angkatan Muda KEADILAN (AMK) mengenai video tular memaparkan seorang lelaki mengeluarkan ugutan bunuh terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim semasa operasi pengosongan di Kampung Sungai Baru, di Kuala Lumpur, Bukit Aman akan mengendalikan kes berkenaan.
Ketua Penerangan Kuala Lumpur, Mohammad Rais Hamda, berkata laporan dibuat AMK Wilayah Persekutuan dan AMK Selangor di IPD Dang Wangi, kira-kira 8 malam ini.
Beliau yang ditemui pemberita selepas membuat laporan itu, berkata anak muda mengecam sekeras-kerasnya ugutan bunuh seumpama itu yang boleh menjejaskan keharmonian negara yang telah lama dibina.

“Kami berharap kertas siasatan akan dibuka dan pihak polis mengambil tindakan sewajarnya terhadap pelaku berkenaan,” katanya menurut Bernama.
Terdahulu, tular di TikTok memaparkan seorang lelaki mengeluarkan kata-kata berbaur ugutan terhadap Anwar dan mendakwa dirinya pernah ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Timbalan Ketua Polis Dang Wangi, Nuzulan Mohd Din, mengesahkan menerima laporan tersebut dan memaklumkan kes akan disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman.

Maklumat lanjut berkenaan seksyen yang akan digunakan terhadap lelaki berkenaan akan dimaklumkan dalam masa terdekat.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
