UCL: van Dijk Kecewakan Atletico Madrid

Virgil van Dijk tidak menghampakan apabila mengecewakan Atletico Madrid dengan gol ketiga Liverpool ketika aksi di Anfield pada 17 September 2025. Foto Reuters

LIVERPOOL, 17 Sep – Kapten Liverpool, Virgil van Dijk muncul wira apabila menanduk gol dalam masa kecederaan untuk menewaskan Atletico Madrid 3-2 pada aksi pembukaan Liga Juara-Juara Eropah di Anfield, awal pagi tadi.

Aksi itu seakan berakhir dengan keputusan seri selepas Marcos Llorente meledak dua gol untuk menyamakan kedudukan, namun tandukan Van Dijk hasil sepakan penjuru pada minit ke-92 memastikan tiga mata buat skuad bimbingan Arne Slot.

Ketegangan semakin memuncak apabila pengurus Atletico, Diego Simeone diarah keluar padang selepas terbabit dalam pertengkaran dengan penonton hanya beberapa minit sebelum wisel penamat.

Bintang Mesir, Mohamed Salah turut mencatat nama sebagai penjaring selain menghasilkan satu bantuan jaringan pada malam penuh debaran itu, yang menyaksikan penampilan sulung pemain termahal Britain, Alexander Isak bersama Liverpool.

Virgil van Dijk tidak menghampakan apabila mengecewakan Atletico Madrid dengan gol ketiga Liverpool ketika aksi di Anfield pada 17 September 2025. Foto Reuters

Skuad tuan rumah bermula garang dengan dua gol pantas dalam enam minit pertama. Andy Robertson membuka tirai jaringan pada minit keempat apabila sepakan percuma Salah terkenanya lalu menerjah gawang Jan Oblak.

Salah kemudian menggandakan kelebihan hanya dua minit kemudian dengan larian solo menewaskan tiga pemain lawan selepas melakukan satu-dua pantas bersama Ryan Gravenberch sebelum melepaskan rembatan deras ke penjuru gawang.

Namun Atletico bangkit dan Llorente merapatkan jurang tepat sebelum rehat, kemudian meledak gol kedua pada minit ke-81 menerusi voli kencang.

Aksi itu mengingatkan kembali kenangan pahit buat Liverpool, apabila Llorente pernah menjadi wira Atletico di Anfield pada tahun 2020 dengan dua jaringan yang menyingkirkan Reds dari pusingan 16 terakhir.

Mohamed Salah menjadi kunci kemenangan Liverpool menewaskan Atletico Madrid 3-2 di Anfield pada 17 September 2025. Foto AFP

“Marcos memang suka stadium ini, dia ulangi prestasi hebat di sini. Kami bermain dengan semangat tinggi, tetapi akhirnya kami kalah. Kadang-kadang itulah bola sepak,” kata Simeone.

Liverpool sekali lagi menunjukkan kebolehan menjaringkan gol lewat permainan, sama seperti kesemua empat kemenangan Liga Perdana mereka musim ini yang hadir pada 10 minit terakhir perlawanan.

“Kami terus menekan, kami temui jalan sekali lagi. Ia satu lagi malam Eropah yang hebat di sini. Hari ini saya yang bertuah dengan gol kemenangan,” kata Van Dijk.

Robertson pula mengakui Liverpool perlu belajar untuk menutup perlawanan lebih awal.

“Apabila anda mendahului 2-0 dan bermain dengan baik, sepatutnya ia jadi malam yang lebih mudah,” kata Robertson.

Isak, yang dibeli dengan harga 125 juta pound (RM720 juta) dari Newcastle United pada tarikh tutup perpindahan, beraksi selama 58 minit tetapi gagal mencuri tumpuan selepas dua percubaannya mudah dinafikan Oblak.

Liverpool melakukan 20 percubaan berbanding 10 oleh Atletico, termasuk satu peluang keemasan daripada Salah yang hanya singgah di tiang gol.

Slot kini berharap skuadnya mampu mengekalkan momentum selepas musim lalu kecundang di tangan Paris Saint-Germain pada pusingan 16 terakhir.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *