Gaza: PBB Isytihar ‘Genosid’ Tapi Rakyat Palestin Semakin Melarikan Diri

Seorang kanak-kanak lelaki Palestin yang berpindah akibat operasi ketenteraan Israel di utara Gaza duduk di atas barangan ketika bergerak ke selatan selepas penduduk Gaza City diarahkan tentera Israel untuk berpindah. Foto Reuters
GAZA, 18 Sep – Ketika Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengisytiharkan pembunuhan di Gaza oleh rejim Israel sebagai genosid, sebahagian besar penduduk Palestin dilihat meninggalkan Bandar Gaza ketika tentera Israel mempertingkatkan serangan darat yang setiap kali mengorbankan puluhan orang.
Imej yang disiarkan menunjukkan aliran berterusan penduduk Gaza bergerak ke arah selatan dengan berjalan kaki, menaiki kereta dan kereta kuda, sambil membawa apa sahaja barangan yang mampu diselamatkan, ketika Israel mengebom bandar itu.
Terdahulu, Israel mengumumkan sudah memulakan kempen ketenteraan yang disokong Amerika Syarikat (AS) di bandar terbesar Gaza dengan berjanji untuk memusnahkan kumpulan Hamas di kawasan berkenaan.

Serangan itu mencetuskan kecaman masyarakat antarabangsa, dengan wilayah berkenaan sudah pun musnah akibat peperangan yang hampir dua tahun, manakala bandar Gaza pula sedang dilanda kebuluran, yang diisytiharkan oleh PBB.
Agensi pertahanan awam Gaza, iaitu pasukan penyelamat di bawah pentadbiran Hamas, berkata serangan semalaman Israel membunuh sekurang-kurangnya 64 orang, termasuk 41 di bandar Gaza, semalam.
Serangan itu berlaku ketika siasatan PBB menuduh Israel melakukan pembunuhan beramai-ramai (genosid) di wilayah Palestin, dengan menyatakan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu dan pegawai kanan lain menghasut jenayah berkenaan.

Semalam, tentera Israel berkata ia membuka laluan pengangkutan sementara melalui Jalan Salah al-Din, sementara imej AFP menunjukkan pengeboman baharu.
Jurucakap bahasa Arab Israel, Kolonel Avichay Adraee, berkata koridor itu hanya akan dibuka selama 48 jam bermula tengah hari ini (0900 GMT).
PBB menganggarkan pada akhir Ogos, kira-kira sejuta orang tinggal di bandar Gaza dan kawasan sekitarnya, dengan 350,000 daripadanya sudah melarikan diri, menurut Israel.

Tentera Israel berkata ia menyerang lebih 150 sasaran di Bandar Gaza sejak melancarkan serangan darat, sejak Selasa lalu.
Selasa lalu, Ketua Suruhanjaya Siasatan Antarabangsa Bebas PBB (COI), Navi Pillay, mendapati bahawa ‘genosid sedang berlaku di Gaza dan terus berlaku’.
Bagaimanapun, COI tidak mewakili badan dunia itu secara rasmi dan Israel berkata ia secara mutlak menolak laporan palsu itu dan menggesa pembubaran segera COI.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
