UCL: Salah Pacu Pesta Gol Benam Qarabag

Salah menambah derita Qarabag sejurus babak kedua bermula apabila menjaringkan gol ketiga pada penampilan ke-80 Liga Juara-Juara bersama Liverpool, menyamai rekod kelab pada 28 Januari 2026. Foto Liverpool FC

LIVERPOOL, 28 Jan – Mohamed Salah menamatkan kemarau jaringan bersama Liverpool apabila The Reds membelasah Qarabag 6-0 awal pagi tadi, sekali gus mengesahkan kemaraan ke pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara (UCL) serta meredakan tekanan terhadap pengurus Arne Slot.

Pasukan kendalian Slot menguasai sepenuhnya aksi menentang kelab Azerbaijan itu apabila dua gol pada separuh masa pertama hasil sentuhan Alexis Mac Allister dan Florian Wirtz meletakkan tuan rumah selesa di Anfield.

Salah menambah derita Qarabag sejurus babak kedua bermula apabila menjaringkan gol ketiga pada penampilan ke-80 Liga Juara-Juara bersama Liverpool, menyamai rekod kelab.

Alexis MacAlister antara penjaring gol Liverpool ketika menewaskan Qarabag 6-0 pada aksi di Anfield pada 28 Januari 2026.

Gol itu menamatkan kemarau lapan perlawanan tanpa jaringan buat penyerang Mesir berusia 33 tahun itu, dengan gol terakhirnya sebelum ini hadir pada 1 November lalu.

Sepanjang tempoh hambar itu, dia digugurkan daripada kesebelasan utama mendorongnya mendakwa dia “dicampak ke bawah bas” oleh kelab ketika menggambarkan hubungan dingin bersama Slot.

Bagaimanapun, kedua-duanya berdamai sebelum Salah berlepas menyertai Piala Negara-Negara Afrika bulan lalu dan Slot berharap jaringan itu mampu mencetus kebangkitan semula prestasi pemain bintangnya.

Puluhan ribu penyokong Liverpool membanjri Anfield ketika menewaskan Qarabag 6-0 pada 28 Januari 2026. Foto Liverpool FC

Hugo Ekitike menjaringkan gol keempat sebelum Mac Allister dan Federico Chiesa melengkapkan kemenangan terbesar Liverpool dalam semua pertandingan sejak tahun 2023, sekali gus mengesahkan kemaraan automatik ke pusingan 16 terakhir.

Selain mengelak pusingan play-off, penamat di tangga ketiga fasa kumpulan turut menghadiahkan Liverpool kelebihan beraksi di laman sendiri pada perlawanan kedua pusingan 16 terakhir.

Walaupun dibelasah di Merseyside, Qarabag tetap layak ke pusingan play-off selepas menamatkan saingan di kedudukan ke-22.

Kemaraan ke pusingan kalah mati itu amat penting buat Slot, yang berdepan pelbagai persoalan sukar mengenai kempen bermasalah pasukannya sejak beberapa minggu kebelakangan ini. – AFP

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *