UCL: Manchester City Dibenam Hatrik Di Bernabeu

Pemain tengah Uruguay itu meledak tiga gol dalam tempoh 22 minit sekali gus menghancurkan pasukan kendalian Pep Guardiola di Santiago Bernabeu pada 11 Mac 2026. Foto Real Madrid CF
MADRID, 11 Mac – Hatrik menakjubkan Federico Valverde pada babak pertama membantu Real Madrid membenam Manchester City 3-0 pada aksi pertama pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.
Los Blancos yang turun tanpa beberapa tonggak utama termasuk Kylian Mbappe menyaksikan pemain tengah Uruguay itu meledak tiga gol dalam tempoh 22 minit sekali gus menghancurkan pasukan kendalian Pep Guardiola di Santiago Bernabeu.
Vinicius Junior turut mensia-siakan sepakan penalti pada babak kedua ketika Madrid sebenarnya berpeluang menambah lagi jaringan menjelang aksi timbal balik di Manchester, minggu depan.

Walaupun Madrid adalah juara dengan rekod 15 kali, prestasi tidak menentu mereka akhir-akhir ini mencetus sedikit keraguan sama ada mereka mampu meraih kemenangan besar pada perlawanan yang kini dianggap sebagai klasik moden Liga Juara-Juara.
City yang menjuarai pertandingan itu buat kali pertama pada 2023 pernah menewaskan Madrid pada fasa liga dan sejak itu terus memperkukuhkan skuad mereka.
Namun kelab gergasi Sepanyol itu mempamerkan aksi paling meyakinkan musim ini tepat pada saat paling penting hingga membuatkan wakil Liga Perdana Inggeris itu terdiam tanpa jawapan.
“Ini luar biasa, anda sentiasa mengimpikan malam seperti ini,” kata Valverde kepada Movistar.
“Sudah lama saya tidak begitu menikmati perlawanan seperti ini. Saya sangat gembira tetapi paling penting pasukan menang.”
Jurulatih Madrid, Alvaro Arbeloa yang kehilangan beberapa pemain utama akibat kecederaan termasuk Mbappe, Jude Bellingham dan Rodrygo Goes memilih menurunkan pemain tengah berusia 18 tahun, Thiago Pitarch selepas beberapa aksi memberangsangkan sebelum ini.
Selepas mengharungi separuh pertama musim yang sukar dan kebanyakannya beraksi di posisi pertahanan kanan ketika di bawah kendalian Xabi Alonso, kehadiran Arbeloa pada Januari dilihat menghidupkan semula prestasi Valverde.
Pemain berusia 27 tahun itu menjaringkan gol kemenangan dramatik ketika menentang Celta Vigo dalam La Liga, Jumaat lalu dan berkata kejayaan itu membantu meningkatkan semangat pasukan.
“Perlawanan di Manchester nanti pasti amat sukar… Kami perlu pergi ke sana seolah-olah kedudukan masih 0-0 dan bekerja keras,” kata Valverde.
“Anda boleh rasakan apabila pasukan bekerja bersama-sama, semuanya menuju objektif yang sama. Kami sudah buktikan apabila pasukan bersatu, kami mampu meraih sesuatu yang besar.” – AFP
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web



