UCL: Komputer Super Opta Ramal Liverpool Paling Berpotensi Juara

Komputer super Opta meramalkan Liverpool akan menjuarai Liga Perdana Inggeris dan Liga Juara-Juara Eropah musim ini berbanding pencabar lain. Foto Opta Analytics

LONDON, 10 Sep – Liverpool menjadi pasukan pilihan utama menjulang Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim ini, mengatasi pencabar utama lain termasuk juara bertahan Paris Saint-Germain (PSG), menurut pendedahan komputer super Opta hari ini.

Pertandingan elit benua itu akan bermula minggu depan dengan format baharu membabitkan 36 pasukan, termasuk enam wakil Liga Perdana Inggeris (PL) — Liverpool, Arsenal, Manchester City, Chelsea, Newcastle dan Tottenham.

Menurut simulasi Opta yang dijalankan sebanyak 10,000 kali, skuad Arne Slot itu mempunyai peluang 20.4 peratus untuk memenangi trofi buat kali ketujuh, dengan 34 peratus untuk mara ke final dan 72.7 peratus peluang ke suku akhir.

Kejuaraan Liverpool dalam saingan Liga Perdana Inggeris (PL) musim lalu menjadi pendorong utama melakar kejuaraan UCL musim ini. Foto Reuters

Arsenal muncul pilihan kedua dengan 16 peratus, walaupun belum pernah menjuarai Liga Juara-Juara. Anak buah Mikel Arteta sebelum ini mara ke separuh akhir musim lalu dan dijangka berpotensi mengulang pencapaian itu, dengan 44.8 peratus peluang ke peringkat itu.

PSG, yang menewaskan Inter Milan pada final musim lalu, berada di kedudukan ketiga dengan 12.7 peratus untuk mempertahankan kejuaraan, manakala Manchester City — juara 2023 — diletakkan pada 8.4 peratus. Chelsea pula berada di tangga keenam (tujuh peratus), di belakang Barcelona.

Newcastle menduduki tangga ke-10 dengan tiga peratus peluang, tetapi Tottenham menjadi wakil tercorot dari Liga Perdana Inggeris — hanya satu peratus peluang untuk menjuarai kejohanan, walaupun masih mempunyai 22.9 peratus peluang ke suku akhir.

Liverpool akan membuka kempen mereka di Anfield menentang kelab Sepanyol, Atletico Madrid pada Rabu depan, manakala Arsenal bertandang ke satu lagi kelab Sepanyol, Athletic Bilbao sehari sebelumnya.

City akan menanti kunjungan Napoli, sementara Newcastle bakal berdepan cabaran besar apabila melayan Barcelona. Tottenham pula memulakan kempen menentang Villarreal.

Aksi Liga Juara-Juara akan memenuhi jadual minggu depan, diikuti permulaan Liga Europa pada 24 September dan Liga Konferens Eropah pada 2 Oktober.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *