UCL: Gol Sendiri Masa Kecederaan Selamatkan Maruah Leverkusen

Pemain FC Copenhagen, Mohamed Elyounoussi (tengah) ketika mengelak pertahanan Bayer Leverkusen Ibrahim Maza pada aksi di Stadium Parken, Copenhagen pada 18 September 2025. Foto Reuters
COPENHAGEN, 19 Sep – Gergasi Jerman, Bayer Leverkusen bernasib baik meraih satu mata selepas diikat 2-2 oleh juara Denmark, FC Copenhagen dalam aksi Liga Juara-Juara (UCL) awal pagi tadi, hasil jaringan sendiri pada masa kecederaan.
Tuan rumah bermula garang apabila Jordan Larsson menanduk masuk hantaran Elias Achouri seawal minit kesembilan untuk menceriakan penyokong di Stadium Parken.
Leverkusen tampak bergelut sepanjang babak pertama, manakala Copenhagen berulang kali menguji gawang lawan, namun ketangkasan Mark Flekken berjaya mengelak jaringan tambahan.

Memasuki separuh masa kedua, Leverkusen mula menemui ruang tetapi percubaan mereka banyak dipatahkan penjaga gol Dominik Kotarski.
Usaha pelawat akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-82 apabila Alejandro Grimaldo meledak sepakan percuma cantik yang singgah di palang sebelum menerjah gawang.
Namun keceriaan Leverkusen tidak bertahan lama selepas Robert menanduk masuk gol kedua Copenhagen lima minit kemudian.
Ketika kemenangan hampir milik tuan rumah, nasib malang menimpa pertahanan Pantelis Hatzidiakos apabila bola hantaran Claudio Echeverri terkena kakinya lalu menerjah gawang sendiri, sekali gus menyelamatkan Leverkusen daripada kekalahan.
Keputusan ini meletakkan Leverkusen di kedudukan ke-17 sementara Copenhagen di posisi ke-19 daripada 36 pasukan yang bersaing secara format liga.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
