Tunggu PRU-16 Untuk Berkempen Tukar Kerajaan – Shamsul Iskandar

Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar (dua dari kiri) menunjukkan laporan yang dibuatnya di Balai Polis Seberang Jaya pada Sabtu. Foto Mohd Iskandar Othman

BUKIT MERTAJAM, 6 JanMana-mana pihak atau individu yang mempunyai cita-cita dan hasrat untuk menjadi kerajaan diminta berdisiplin dengan menunggu Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, berkata negara mengamalkan demokrasi dengan mengadakan pilihan raya setiap lima tahun bagi membolehkan setiap parti berkempen untuk rakyat membuat pilihan.

Katanya, pada masa ini biar kerajaan sedia ada memimpin demi kestabilan negara dan ekonomi, sekali gus tidak berlaku peristiwa pertukaran pemimpin silih berganti yang tidak menguntungkan rakyat.

“Cukuplah rakyat telah melihat bahawa sepanjang ‘period’ (tempoh) dari 2018 hingga 2022 berlaku perubahan kerajaan demi kerajaan yang tidak menguntungkan.

“Siapa yang ada cita-cita dan hasrat untuk menjadi kerajaan tunggulah pilihan raya akan datang.

Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar (dua dari kiri) menunjukkan laporan yang dibuatnya di Balai Polis Seberang Jaya pada Sabtu. Foto Mohd Iskandar Othman

“Jadikan itu sebagai satu disiplin dan cara berpolitik untuk kita menguruskan negara ini yang mana negara kita mengamalkan demokrasi apabila ada pilihan raya setiap lima tahun dan ketika itu berkempenlah,” katanya ketika ditanya mengenai sindiran Tun Mahathir Mohamad terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung Langkah Dubai.

Terdahulu, beliau ditemui pemberita di luar perkarangan Balai Polis Seberang Jaya, di sini selepas selesai membuat laporan polis terhadap seorang aktivis pembangkang yang didakwa mengaitkannya dengan penyelewengan dana badan bukan kerajaan (NGO) di Facebook (FB).

Mengulas lanjut, Shamsul Iskandar berkata, beliau hairan dan pelik dengan hantaran yang dibuat Tun Mahathir yang langsung tidak mengulas serta menyentuh mengenai Langkah Sheraton.

“Beliau (Tun M) mengulas tentang Langkah Kajang dan sebagainya tetapi tidak mengambil pendirian tentang Langkah Sheraton yang kita tahu Tun M masa mula-mula beliau menjadi Perdana Menteri pun beliau memulakan langkah juga untuk memastikan Datuk Seri Anwar tidak menjadi Perdana Menteri.

“Jadi, saya fikir kumpulan-kumpulan yang menggerakkan dan mewawarkan Langkah Dubai ini untuk menumbangkan kerajaan itu pada saya sekadar khayalan dan angan-angan mat jenin yang tentunya tidak mempunyai asas sama sekali.

“Kita tahu bahawa untuk rekod dalam Parlimen Malaysia, sekarang ini sokongan terhadap PMX (Anwar) telah pun melebihi daripada dua pertiga yang mana kalau kita lihat mana ada Perdana Menteri yang mula-mula diberikan amanah untuk memimpin negara memulakan langkah politik dalam negara ini dengan membawa usul undi percaya dalam Parlimen,” katanya.

’Fitnah Mahu Cemar Nama Baik PMO’ – Shamsul Iskandar

Dalam pada itu, Shamsul Iskandar mendakwa langkah untuk menumbangkan kerajaan itu dilihat mula dirancakkan kembali oleh pihak tertentu di saat pertukaran Yang di Pertuan Agong pada hujung bulan ini.

“Di sini, saya juga ambil kesempatan dengan meminta pihak polis, SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) dan sebagainya dapat jalankan siasatan bersungguh-sungguh kerana kalau kita fikir langkah terbaru ini sudah pasti, kemungkinan ada elemen membabitkan suapan.

“Pada masa sama, saya akan bincang dengan pihak peguam dan kita tidak menolak kemungkinan untuk memulakan langkah sama ada tindakan undang-undang supaya perkara ini dapat dihentikan kerana ini seolah-olah percubaan untuk menunjukkan keresahan kepada masyarakat,” katanya.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *