Tun Abdullah Dirawat Di IJN, Keadaan Stabil

Bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi dimasukkan ke IJN pada Rabu bagi menerima rawatan di CCU institut itu. Foto Arkib
KUALA LUMPUR, 25 Apr – Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN), di sini, pada Rabu setelah mengalami small spontaneous pneumothorax.
Buat masa ini, keadaan beliau dilaporkan stabil dan masih dirawat di Unit Penjagaan Koronari (Coronary Care Unit – CCU).
Kesihatan bekas Perdana Menteri itu disahkan sendiri oleh ahli keluarganya menerusi kenyataan pada Khamis.
“Alhamdulillah, beliau berada dalam keadaan baik, namun memerlukan rehat yang secukupnya.

“Pihak keluarga amat menghargai doa serta kata-kata semangat yang dititipkan.
“Tetapi, pihak IJN menasihatkan agar beliau tidak menerima pelawat buat masa ini,” jelasnya.
Sementara itu, Khairy Jamaluddin yang juga menantu Abdullah dalam kemas kini di Instagram Story turut mengesahkan perkara sama dan memaklumkan keadaan bapa mentuanya itu dalam keadaan baik ketika ini.
“Namun, (Abdullah) memerlukan rehat yang secukupnya. Saya mewakili seluruh ahli keluarga amat menghargai doa serta kata-kata semangat yang dititipkan buat beliau.
“Tetapi pihak IJN menasihatkan agar beliau tidak menerima pelawat buat masa ini,” kata bekas Menteri Kesihatan itu.
Abdullah menjadi perdana menteri kelima antara tahun 2003 hingga 2009 susulan peletakan jawatan Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 31 Oktober 2003.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
