Tumpu, Laksana, Pantau Projek Pembangunan Yang Telah Diluluskan – PM Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pembangunan Kota Kinabalu yang berlangsung di Menara Kinabalu pada 15 Mac 2026. Foto Facebook Anwar Ibrahim
KOTA KINABALU, 15 Mac – Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pembangunan Kota Kinabalu dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berlangsung di Menara Kinabalu, hari ini, menekankan pelbagai keperluan untuk semua pihak terus memberi tumpuan serta memantau secara rapi pelaksanaan setiap projek pembangunan yang telah diluluskan.
Mesyuarat kira-kira sejam itu turut dihadiri Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor bersama barisan kabinet negeri serta Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Dr Sabin Samitah.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud.
Perbincangan mesyuarat berkenaan memberi tumpuan kepada perkara berkaitan pembangunan serta perancangan bandar raya Kota Kinabalu.

“Hal ini penting kerana rakyat menaruh harapan besar terhadap projek-projek yang memberi impak langsung kepada kehidupan seharian mereka, termasuk usaha menaik taraf jalan serta kemudahan infrastruktur demi keselesaan dan kesejahteraan masyarakat.
“Pada pandangan saya, tidak seharusnya wujud sebarang alasan yang menyebabkan projek tertangguh akibat ketidakcekapan atau kerenah birokrasi kerana setiap kelewatan akhirnya akan memberi kesan kepada mutu kehidupan rakyat, selain mengekang potensi kemajuan dan pembangunan negeri.

“Kerajaan kekal fokus dalam memastikan setiap projek yang dirancang dilaksanakan dengan cekap, telus dan menepati jadual, agar manfaatnya dapat segera dirasai oleh rakyat,” ujar Anwar menerusi hantaran di media sosial.
Selepas mesyuarat, Anwar menghadiri program Mini Konvensyen KEADILAN dan seterusnya merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Cabang (MATC) peringkat Sabah.

Perdana Menteri seterusnya melakukan Sesi Tinjauan Bazar Ramadan di University Apartment (UA), Sepanggar bagi mendapatkan maklum balas serta beramah mesra dengan peniaga dan pengunjung di situ.
Seusai di bazar, Anwar dijadual bergerak ke Majlis Berbuka Puasa MADANI Peringkat Negeri Sabah bersama rakyat di Kompleks Dewan Kuliah Pusat Ke-2 Universiti Malaysia Sabah (UMS), Kota Kinabalu.
Pagi tadi Anwar hadir melancarkan Sambutan Hari Pengguna Kebangsaan (HPK) 2026.
Anwar dijadual berlepas pulang ke ibu negara malam ini seusai lawatan kerja seharinya ke Sabah.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
