Tujuh Suspek Cetus Provokasi, Cederakan OCPD Ditahan – PDRM

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadli Marsus menerangkan objektif advokasi operasi patuh undang-undang kepada Naib Pengerusi MPN Wilayah Persekutuan, Lai Chen Heng di Balai Polis Trafik KL pada 12 September 2025.
KUALA LUMPUR, 13 Sep – Polis menahan seramai tujuh lelaki yang disyaki terlibat melakukan provokasi ketika proses pelaksanaan writ saman milikan kosong kediaman di Kampung Sungai Baru, kelmarin.
Mereka yang berusia antara 15 hingga 52 tahun ditahan disyaki terbabit dalam kejadian itu hingga mencederakan Ketua Polis Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, berkata salah seorang suspek setakat ini telah didakwa di mahkamah semalam dan dikenakan denda RM1,500 selepas mengaku bersalah.
“Enam lagi individu masih ditahan reman bagi membantu siasatan.
“Kita juga sedang mengesan beberapa lagi individu yang terlibat dalam kes mencetuskan provokasi dan kekecohan,” katanya dalam sidang media tengah malam tadi, katanya dalam sidang media malam tadi.

Mengulas lanjut, beliau berkata semakan polis mendapati semua suspek bukan penduduk Kampung Sungai Baru.
“Kesemua suspek yang ditahan ini dikesan bukanlah beralamat di Kampung Sungai Baru dan kita percaya mereka mempunyai kaitan dengan bantahan terhadap proses pelaksanaan pengosongan kediaman.
“Kita telah membuka tiga kertas siasatan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 353 dan Seksyen 324 kanun yang sama,” katanya.
Dalam pada itu, Fadil berkata Sulizmie berada dalam keadaan baik dan masih menerima rawatan.
“Kita meminta orang ramai menyalurkan maklumat atau video berkaitan insiden kekecohan itu bagi membantu siasatan,” katanya.
Terdahulu pada 11 September, Sulizmie cedera di kepala ekoran tindakan peserta yang mencetuskan provokasi terhadap anggota polis yang turut dikecam Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web


