Penarikan Senjata Berat Di Sempadan Thailand-Kemboja Langkah Positif – Penganalisis

Penganalisis politik, Abul Jais Ashfaq Ahmed sifatkan langkah Thailand dan Kemboja positif ke arah perdamaian di sempadan kedua-dua negara.

KUALA LUMPUR, 13 Sep – Penganalisis politik menyifatkan tindakan Thailand dan Kemboja mencapai persetujuan penting untuk menarik balik senjata berat dari sempadan yang dipertikaikan serta bekerjasama dalam operasi pembersihan periuk api, sebagai langkah positif meredakan ketegangan sejak 24 Julai lalu.

Menurut Abul Jais Ashfaq Ahmed, Bangkok dan Phnom Penh bertindak betul dalam menyelesaikan konflik sempadan hasil gerakan gencatan senjata yang dimeterai di Putrajaya dan Kuala Lumpur oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Selaku Pengerusi ASEAN 2025, Perdana Menteri jelas memikirkan kestabilan dan keamanan di rantau ini termasuk di Thailand dan Kemboja manakala langkah kedua-dua negara menarik balik senjata berat bagi memberi laluan kepada pembersihan periuk api menandakan mereka matang menilai situasi semasa.

Lawatan pasukan pemerhati ke sempadan Thailand-Kemboja memastikan pematuhan gencatan senjata dilaksanakan pada 12 September 2025. Foto AFP

“Saya berpendapat, Perdana Menteri Thailand yang baharu, Anutin Charnvirakul amat positif dalam usaha penyelesaian konflik dan Hun Manet sebagai Perdana Menteri Kemboja amat mengalu-alukan langkah tentera negaranya meredakan ketegangan seterusnya memastikan keamanan dapat dipulihkan segera,” katanya.

Terdahulu media melaporkan langkah berkenaan dilihat sebagai usaha segera meredakan ketegangan selepas pertempuran ganas yang tercetus pada 24 Julai lalu meragut puluhan nyawa dan memaksa ratusan ribu penduduk melarikan diri menjauhi sempadan berkenaan.

Perjanjian itu dimuktamadkan pada Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Am (GBC) yang diadakan di wilayah Koh Kong, Kemboja, pada 10 September lepas.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia berharap untuk meneruskan kerjasama erat dengan Thailand dalam membangunkan sempadan yang dikongsi, memajukan perdagangan dan meningkatkan kebajikan rakyat. Foto AFP

Mesyuarat khas itu dipengerusikan bersama oleh pemangku Menteri Pertahanan Thailand, Jeneral Nattaphon Narkphanit, dan rakan sejawatannya dari Kemboja, Tea Seiha.

Peranan Anwar selaku Pengerusi ASEAN 2025 dilihat mampu menggalas tanggungjawab berkesan membawa Pemangku Perdana Menteri Thailand ketika itu, Phumtam Wechayachai dan Hun Manet ke meja rundingan disertai Amerika Syarikat dan China sebagai saksi perjanjian gencatan senjata yang kekal sehingga kini.

Kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menyelesaikan isu antara Thailand dan Kemboja mendapat pujian dunia termasuk Presiden Amerika Syarikat Donald Trump yang menghargai usaha diplomatik Malaysia pada 28 Julai 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *