Tujuh Sekeluarga Dibunuh Di Mexico

COATZACOALCOS, 4 Jul – Tujuh sekeluarga dibunuh di Mexico, kata pihak berkuasa semalam, tatkala Presiden Andres Manuel Lopez Obrador menghadapi penelitian yang semakin meningkat terhadap dasar keselamatannya.
Tiga wanita dan empat lelaki, termasuk seorang bawah umur, ditembak di rumah mereka di perbandaran Boca del Rio di negeri timur Veracruz, kata pejabat pendakwa raya.
Mereka tergolong dalam satu keluarga yang menjalankan rangkaian kedai daging, kata sumber Pengawal Kebangsaan yang tidak mahu namanya didedahkan kepada AFP.
Lebih 340,000 orang terbunuh dalam lingkaran pertumpahan darah sejak Mexico mengerahkan tentera untuk memerangi kartel dadah pada 2006.

Kerajaan menyalahkan kebanyakan kematian ke atas kumpulan yang terbabit dalam jenayah termasuk pengedaran dadah, kecurian bahan api, penculikan dan pemerasan.
Persoalan mengenai strategi keselamatan Lopez Obrador telah meningkat sejak dua paderi dibunuh pada 27 Jun di sebuah gereja di negeri utara Chihuahua.
Pemimpin Katholik telah menyertai pembangkang dalam mengkritik kerajaan.
Sabtu lalu, seorang anggota tentera maut semasa operasi di mana tiga orang dikatakan pengedar dadah telah ditangkap di negeri barat laut Sonora, Lopez Obrador memberitahu pemberita semalam.
Beliau mempertahankan dasar keselamatannya, yang memberi tumpuan kepada menangani punca keganasan, termasuk kemiskinan.
“Kami yakin bahawa keganasan tidak boleh dihadapi dengan keganasan,” kata Lopez Obrador.
Beliau menggelarnya sebagai ‘kesilapan serius’ bagi Mexico untuk ‘mengisytiharkan perang terhadap jenayah’ pada 2006 di bawah presiden ketika itu Felipe Calderon.
– AFP
