Negeri Sembilan Meterai Perjanjian Jajaran Sempadan Darat Dengan Selangor

SHAH ALAM, 4 Jul – Perjanjian sempadan darat di antara Negeri Sembilan dan Selangor pada Isnin yang dimeterai antara kedua-dua negeri berjaya menyelesaikan jajaran sempadan darat dengan jarak sepanjang 111.9 kilometer (km).
Pada majlis tersebut, Kerajaan Negeri Sembilan diwakili oleh Dato’ Ismail Ahmad, EXCO Pembangunan Luar Bandar yang mewakili Menteri Besar, Dato’ Seri Aminuddin Harun sementara Selangor diwakili Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari.
Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Rosli Isa, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Haris Kasim, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Sembilan, Datuk Muhamad Nahar Mohd Sidek dan Ketua Pengarah Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), Mohammad Zaki Mohd Ghazali.

Ini bermakna titik akhir sempadan negeri itu juga akan dijadikan sebagai titik permulaan bagi kedua-dua negeri berkenaan untuk memulakan rundingan sempadan maritim hingga ke laut wilayah negeri masing-masing.
“Untuk makluman, Kerajaan Negeri Sembilan dan Kerajaan Negeri Selangor telah menandatangi MoU 1 dan MoU 2 secara berasingan iaitu Negeri Sembilan pada 25 November 2015 dan Negeri Selangor pada 4 September 2015 lalu.
“Kerajaan Negeri Sembilan melalui MoU 1 yang telah ditandatangani, telah menerima dan bersetuju ukuran sempadan sedia ada sepanjang 45.5 km,” katanya dalam hantaran terbaharu di Facebook pada Isnin.

Sementara bagi MoU 2 yang telah juga ditandatangani telah bersetuju dengan hasrat penandaan dan pengukuran bagi sempadan yang telah diukur sepanjang 66.4 km yang merangkumi 47.3 sempadan permatang dan 19.1 km sempadan sungai.
Penentuan jajaran sempadan yang jelas antara dua negeri itu akan turut membolehkan aktiviti penguatkuasaan pihak berkuasa tempatan (PBT) dijalankan dengan berkesan bagi mencegah berlaku pencerobohan tanah dan penerokaan sumber secara tidak sah.
“Dengan termeterainya perjanjian sempadan darat pada hari ini, besarlah harapan saya agar kedua-kedua negeri dapat memuktamadkan sempadan darat dan seterusnya akan bermula kerja-kerja penandaan dan pengukuran sempadan maritim.

“Semoga semuanya berjalan dengan lancar, Insya-Allah,” tambahnya.
Difahamkan, pasukan kerja ukur JUPEM telah memulakan kerja-kerja penandaan dan pengukuran dari 5 Mei 2016 hingga siap sepenuhnya pada 17 Mac 2018 iaitu mengambil masa hampir dua tahun.
Ikuti platform media sosial rasmi Menteri Besar Negeri Sembilan seperti berikut:
Facebook: https://fb.com/dsaminuddinharun
Twitter: https://twitter.com/MenteriBesarNS
Instagram: https://instagram.com/dsaminuddinharun
