Tujuh Pertuduhan Terhadap Muhyiddin Berat Untuk ‘Dihadam’ Rakyat

Bekas Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin berdepan perbicaraan atas pertuduhan kes salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 Mac 2026.
PENDAPAT, 9 Mac – Perbicaraan membabitkan bekas Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 Mac 2026 sekali lagi menjadi tumpuan utama landskap politik dan perundangan negara. Kes ini melibatkan empat pertuduhan salah guna kedudukan yang didakwa membabitkan suapan berjumlah RM232.5 juta serta tiga pertuduhan pengubahan wang haram bernilai RM200 juta.
Perbicaraan tersebut bukan sahaja memberi implikasi kepada individu yang terlibat, malah turut memberi kesan terhadap persepsi rakyat terhadap integriti kepimpinan politik di Malaysia.
Dari sudut undang-undang, kes ini dilihat sebagai ujian penting kepada institusi kehakiman dan agensi penguatkuasaan negara. Pendakwaan perlu membuktikan bahawa dana yang diperoleh mempunyai kaitan langsung dengan penyalahgunaan kuasa ketika tertuduh memegang jawatan tertinggi kerajaan.
Kita jangkakan pihak pembelaan pula akan menegaskan bahawa sumbangan yang diterima adalah dana politik dan bukan untuk kepentingan peribadi, tetapi berdepan penafian hebat yang akan dibuktikan pihak pendakwaan.
Secara politik, perbicaraan ini berlaku dalam suasana persaingan politik yang masih sengit. Perikatan Nasional yang pernah dipimpin oleh Muhyiddin sebelum ini turut berdepan tekanan imej kerana kes tersebut sering dijadikan bahan kritikan oleh lawan politik.
Bagi penyokong beliau pula, kes ini dilihat sebagai proses perundangan yang perlu dihormati sehingga mahkamah membuat keputusan muktamad dibuat, dan perbicaraan mungkin memakan masa bertahun lamanya.
Perbicaraan ini juga mengingatkan rakyat kepada komitmen negara dalam memerangi rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Malaysia berusaha memperkukuh sistem integriti serta memastikan pemimpin politik tidak terkecuali daripada tindakan undang-undang.
Mengikut pertuduhan pertama hingga keempat, Muhyiddin didakwa sebagai Perdana Menteri dan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), menggunakan kedudukan untuk suapan wang berjumlah RM232.5 juta daripada seorang individu dan tiga syarikat sekutu parti itu.
Bagi pertuduhan kelima hingga ketujuh, Muhyiddin selaku Presiden Bersatu didakwa menerima hasil daripada aktiviti haram, iaitu wang berjumlah RM200 juta daripada sebuah syarikat yang dimasukkan ke akaun CIMB Bank dan AmBank milik parti.
Pada prosiding 7 Oktober lalu, mahkamah dimaklumkan Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasi Muhyiddin untuk mengugurkan empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan RM232.5 juta dan tiga pengubahan wang haram (AMLA) melibatkan wang RM200 juta.
Apa jua keputusan mahkamah kelak, kes ini berpotensi menjadi penanda aras penting dalam usaha memperkukuh prinsip kedaulatan undang-undang serta meningkatkan keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan negara.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web






