TERKINI: Iran ‘Eksport’ Peluru Berpandu Pertama Ke Israel Di Bawah Arahan Mojtaba Khamenei

Imej tangkap layar deretan peluru berpandu dari Iran yang dirakam menuju ruang udara Israel yang dapat dilihat di Tel Aviv, Israel pada 8 Mac 2026. Foto NayaForIraq
TEHRAN, 9 Mac – Iran melancarkan serangan peluru berpandu pertamanya ke atas Israel selepas pelantikan pemimpin agung baharu republik Islam itu, Ayatollah Mojtaba Khamenei, menurut penyiar negara Islamic Republic of Iran Broadcasting (IRIB).
“Iran melancarkan gelombang pertama peluru berpandu di bawah pimpinan Ayatollah Seyyed Mojtaba Khamenei ke arah wilayah yang diduduki,” kata IRIB menerusi saluran Telegramnya.
IRIB turut menyiarkan gambar sebuah peluru berpandu yang memaparkan slogan ‘At Your Command, Sayyid Mojtaba‘, satu rujukan keagamaan dalam tradisi Muslim Syiah.

Di Israel, siren amaran peluru berpandu berbunyi di sebahagian besar kawasan utara dan tengah negara itu, termasuk bandar Tel Aviv dan Haifa, menurut Israel Defense Forces Home Front Command.
Polis berkata anggota mereka dipanggil ke sekurang-kurangnya dua lokasi di tengah Israel selepas serpihan peluru berpandu pemintas dilaporkan jatuh di kawasan itu, menurut media tempatan.
Laporan semalam menyebut kira-kira 2,000 rakyat rejim Israel cedera sejak serangan berskala besar menggegar Tel Aviv pada 28 Februari lalu.

Perkhidmatan kecemasan Magen David Adom berkata, seorang wanita cedera sederhana selepas terkena ‘batu berterbangan’ yang mengenai kepalanya akibat serangan peluru berpandu itu.
Selepas mengumumkan sistem pertahanan udara sedang memintas peluru berpandu yang dilancarkan, pihak tentera berkata keadaan kini selamat dan orang ramai boleh ‘keluar dari ruang perlindungan di semua kawasan negara’.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

