Tujuh Maut Serangan Udara Terbaru Di Gaza, Israel Sasar Pemimpin Kanan Hamas

Anggota keselamatan dan penduduk berkumpul di bawah bangunan pangsapuri yang terbakar akibat serangan udara Israel yang mensasarkan pemimpin kanan Hamas di bandar Gaza. Foto AFP

GAZA, 16 Mei – Pasukan perubatan Gaza melaporkan sekurang-kurangnya tujuh rakyat Palestin, termasuk seorang kanak-kanak, terkorban dalam serangan udara terbaru Israel, yang didakwa menyasarkan ketua sayap bersenjata Hamas.

Bagaimanapun, sehingga kini pihak Israel mahupun pejuang Palestin tidak mengesahkan sama ada pemimpin terbabit terbunuh atau mengalami kecederaan.

Hamas tidak memberikan maklum balas berhubung keadaan Izz al-Din al-Haddad, yang mengambil alih jawatan ketua tentera kumpulan itu di Gaza selepas Komander Mohammad Sinwar terbunuh pada Mei 2025.

Anggota keselamatan dan penduduk berkumpul di bawah bangunan pangsapuri yang terbakar akibat serangan udara Israel yang mensasarkan pemimpin kanan Hamas di bandar Gaza. Foto AFP

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dalam kenyataan bersama Menteri Pertahanan, Israel Katz berkata, Haddad adalah perancang utama serangan pada 7 Oktober 2023, yang mencetuskan serangan berterusan Israel ke atas wilayah Palestin selama dua tahun.

Beliau adalah pegawai paling kanan Hamas yang menjadi sasaran serangan Israel sejak perjanjian tajaan Amerika Syarikat (AS) pada Oktober lalu yang bertujuan menghentikan pertempuran di Gaza.

Serangan terbaru ini berlaku ketika rundingan antara Israel dan Hamas berkenaan pelan pasca perang Presiden AS, Donald Trump di Gaza masih menemui jalan buntu.

Menurut petugas perubatan di Gaza, sekurang-kurangnya tujuh orang, termasuk tiga wanita dan seorang kanak-kanak terbunuh, manakala 50 lagi cedera dalam serangan udara yang menyasarkan sebuah pangsapuri dan sebuah kenderaan.

Dalam kenyataan bersama Netanyahu dan Katz, mereka mendakwa Haddad bertanggungjawab ke atas pembunuhan, penculikan, dan kecederaan yang menimpa ribuan orang awam serta tentera Israel.

Mereka bagaimanapun tidak mengesahkan sama ada Haddad terkorban dalam operasi itu.

Pasukan perubatan di Gaza melaporkan serangan udara pertama menyasarkan sebuah pangsapuri di kawasan Rimal, Bandar Gaza, yang mengorbankan sekurang-kurangnya empat orang. Serangan kedua menyusul sejurus selepas itu menyasarkan sebuah kenderaan di jalan berhampiran, mengorbankan tiga lagi nyawa.

Rakaman video Reuters di lokasi kejadian menunjukkan api marak di sebuah bangunan pangsapuri yang sebahagian besarnya sudah musnah dibom. Penduduk Palestin dilihat mengeluarkan jenazah dari runtuhan yang dibalut dengan plastik putih.

Jurucakap Pertahanan Awam Gaza, Mahmoud Basal berkata, ratusan penduduk tinggal di dalam bangunan yang menjadi sasaran itu.

“Peluru berpandu dilepaskan tanpa sebarang amaran awal. Kami sedang menguruskan sejumlah (mangsa maut). Terdapat bilangan mangsa cedera yang besar,” kata Basal.

Israel meningkatkan serangannya di Gaza dalam tempoh lima minggu sejak menghentikan pengeboman bersama AS di Iran, dan mengalihkan semula tumpuan ketenteraan ke wilayah Palestin yang musnah itu di mana pihak tentera percaya pejuang Hamas sedang memperkukuh kedudukan mereka.

Perjanjian yang dicapai pada Oktober lalu sebelum ini berjaya menghentikan pertempuran di Gaza selepas dua tahun perang antara Israel dan Hamas.

Bagaimanapun, langkah untuk mencapai penyelesaian kekal yang merangkumi pengunduran tentera Israel, melucutkan senjata pejuang, dan membina semula wilayah tersebut masih buntu.

Tentera Israel berada di lebih separuh daripada wilayah Gaza, di mana mereka telah merobohkan sebahagian besar bangunan dan mengarahkan semua penduduk keluar.

Lebih dua juta penduduk kini tinggal di kawasan pantai, kebanyakannya menetap di dalam struktur bangunan yang rosak atau khemah sementara, di mana pejuang Hamas memegang kawalan de facto.

Kira-kira 850 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan Israel sejak gencatan senjata Oktober lalu. Dalam tempoh yang sama, empat tentera Israel dilaporkan terbunuh oleh pejuang Palestin.

Hamas tidak mendedahkan angka kecederaan atau kematian dalam kalangan pejuangnya. – Reuters

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *