Tujuh Maut Bas Bertembung Dengan Kereta Api Penumpang

Penumpang kereta api meninggalkan tren selepas berlanggar dengan bas di selatan Slovakia pada Jumaat. Foto ENES
BRATISLAVA, 29 Jun – Tujuh orang maut dan lima lagi tercedera kelmarin apabila sebuah kereta api penumpang dan sebuah bas bertembung di atas lintasan landasan kereta api di selatan Slovakia, menurut anggota penyelamat.
Kemalangan berlaku hanya selepas jam 5 petang waktu tempatan berhampiran pekan barat daya Nove Zamky, lapor agensi berita CTK.
Jurucakap bagi perkhidmatan kereta api Vladimira Bahylova memberitahu AFP bahawa kereta api Eurocity telah bergerak dari Prague ke Budapest.
“Tujuh orang mengalami kecederaan yang meragut nyawa,” menurut perkhidmatan menyelamat Slovak, mengemaskini satu angka awal bagi enam kematian.
“Lima orang tercedera,” tambahnya menerusi Facebook.
Petra Klimesova, seorang jurucakap bagi perkhidmatan menyelamat, memberitahu AFP bahawa mangsa yang tercedera memerlukan “rawatan perubatan segera”.
Bahylova berkata pemandu kereta api “mengalami melecur kerana lokomotif tersebut terbakar”.
Beliau menyatakan pertembungan berlaku di atas lintasan landasan yang telah dilindungi oleh penghadang dan dilengkapi dengan lampu isyarat.
Menteri Dalam Negeri Matus Sutaj Estok kemudian telah pergi ke tempat kejadian.
Beliau memberitahu wartawan bahawa ia masih belum jelas sama ada punca kejadian akibat masalah teknikal atau kesilapan manusia.
Media tempatan menyiarkan rakaman video menun-jukkan penumpang yang membawa bagasi di tepi sebuah kereta api yang separuh dijilat api, ketika kepulan asap naik ke ruang udara.
Seorang penumpang Katarina Molnarova, yang merekodkan video itu, memberitahu AFP bahawa dia “merasai dan mendengar satu hentaman dan satu letupan” tidak lama selepas kereta api meninggalkan stesen Nove Zamky.
“Selepas beberapa minit kami berjaya keluar… kami melihat bahagian depan kereta api sedang terbakar,” kata pakar kosmetik berusia 43 tahun dari pekan selatan Sturovo.
“Tiada bunyi jeritan atau panik. Kami melihat serpihan daripada bas yang berselerak akibat impak.” — AFP
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web



