Trump Berlepas Ke Jepun Menjelang Pertemuan Dengan China

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump diraikan pada sambutan selamat jalan selepas mengadakan lawatan dua hari ke Malaysia sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada 27 Oktober 2025.
KUALA LUMPUR, 26 Okt – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, berlepas berlepas ke Jepun hari ini bagi melengkapkan bahagian kedua jelajah Asia yang dijangka memuncak dengan pertemuannya bersama Presiden China, Xi Jinping.
Pesawat Air Force One berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jam 10.06 pagi tadi menuju Tokyo
Lawatan ini merupakan yang pertama bagi Trump ke rantau berkenaan sejak kembali memegang jawatan dan bermula di Malaysia semalam, dengan pelbagai perjanjian yang dimeterai.

Antaranya termasuk memberi ganjaran kepada negara jiran Kemboja dan Thailand dengan perjanjian perdagangan selepas menandatangani perjanjian gencatan senjata mereka di luar sidang kemuncak ASEAN.
Trump turut menandatangani perjanjian perdagangan dan mineral dengan Malaysia serta berusaha memperbaiki hubungan dengan Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva, selepas beberapa bulan ketegangan diplomatik.
“Saya fikir kita akan dapat mencapai beberapa perjanjian yang cukup baik,” kata Trump kepada pemimpin berhaluan kiri itu.

Sebelum tiba di Asia Tenggara, Trump sempat mengadakan pertemuan dengan pemimpin Qatar semasa persinggahan untuk mengisi minyak, di mana mereka membincangkan gencatan senjata rapuh di Gaza.
Ini merupakan lawatan pertama Trump sebagai presiden ke Kuala Lumpur, di mana pesawatnya diiringi dua jet pejuang F-18 Malaysia semasa menghampiri lapangan terbang, sebelum disambut dengan hamparan permaidani merah serta kibaran bendera Malaysia dan Amerika Syarikat.
Sebaik tiba di Tokyo, Trump dijadual mengadakan pertemuan dengan Maharaja Jepun, sebelum pada Selasa dengan Perdana Menteri baharu, Sanae Takaichi.

Trump berkata beliau mendengar “perkara hebat tentangnya” dan memuji hakikat bahawa Takaichi merupakan pengikut setia bekas Perdana Menteri Shinzo Abe yang telah dibunuh — seorang tokoh yang mempunyai hubungan rapat dengannya.
Takaichi pula berkata beliau telah memberitahu Trump bahawa “mengukuhkan pakatan Jepun-AS adalah keutamaan utama pentadbirannya dalam aspek diplomasi dan keselamatan.”
Jepun setakat ini terselamat daripada kesan terburuk tarif perdagangan yang dikenakan Trump ke atas banyak negara lain bagi menamatkan apa yang dianggapnya sebagai ketidakseimbangan perdagangan tidak adil yang “merugikan Amerika Syarikat.”

Kemuncak lawatan ini dijangka berlangsung di Korea Selatan, di mana Trump akan bertemu Xi buat kali pertama sejak kembali ke Rumah Putih,
Trump dijadual tiba di bandar pelabuhan selatan Busan pada Rabu menjelang sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC), dan akan bertemu Presiden Korea Selatan, Lee Jae Myung.
Pasaran global dijangka memberi perhatian penuh terhadap pertemuan Trump-Xi Khamis nanti, bagi melihat sama ada perang perdagangan yang tercetus akibat tarif besar-besaran Trump dapat dihentikan, terutama selepas pertikaian terbaru mengenai sekatan sumber nadir bumi oleh Beijing.

Trump juga menimbulkan spekulasi bahawa beliau mungkin akan bertemu dengan pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un, semasa berada di Semenanjung Korea, dengan menyatakan bahawa beliau “terbuka kepada kemungkinan itu.”
Kedua-dua pemimpin kali terakhir bertemu pada 2019 di Zon Nyah Tentera (DMZ), kawasan sempadan yang memisahkan Korea Utara dan Selatan.
Menteri Penyatuan Semula Korea Selatan berkata terdapat “kemungkinan besar” pertemuan antara Trump dan Kim akan berlaku.
Kim turut menyatakan bahawa beliau juga terbuka untuk bertemu Presiden AS sekiranya Washington menghentikan tuntutan agar Pyongyang melucutkan senjata nuklearnya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
